Kemaraan Ernie Zakri

Iklan
Ernie kini bersedia untuk mengorak langkah ke pasaran Asia dan Hollywood. - Foto Universal Music Malaysia

JIKA diselak lembaran diari seni penyanyi bernama Ernie Zakri, memang penuh onak, duri dan ranjau.

Akui pemilik nama sebenar Nur Ernie Shahirah Zakri itu, pernah timbul rasa putus asa untuk meneruskan langkah selepas lima tahun bergelar penyanyi.

Iklan
Iklan

Namun, berkat sokongan dan dorongan ibu tercinta, Rafiaah Mohamed, membuatkan dia kembali bangkit.

"Ketika itu saya baru berusia 23 tahun dan sudah ada album serta 20 buah lagu, tetapi tidak dapat perhatian. Saya salahkan orang lain, walhal saya tidak sedar yang saya harus percaya pada rezeki dan masa saya belum sampai lagi.

Iklan

"Sekarang saya rasa bertuah kerana mendengar kata ibu. Kalau tidak, tiadalah saya di sini pada hari ini. Bila saya bercerita kepayahan lalu, orang kata normal lah. Namun, terus terang saya katakan, apa yang saya lalui itu menjadi pendorong untuk saya terus berjaya dan lebih berusaha," jelasnya.

Ernie berkata demikian ketika ditemui pada majlis pengumumannya sebagai artis syarikat rakaman antarabangsa, Universal Music Malaysia (UMM).

Iklan

Meskipun sudah membuktikan kemampuan diri, pasti ramai tidak percaya, suri hati kepada penyanyi Syamel itu pernah diketepikan.

"Penolakan daripada pihak tertentu tetap ada, tetapi saya sama sekali tidak rasa diri ini gagal walau mereka tidak memilih saya," ujarnya dengan tenang.

Namun, hal itu sudah dilupakan kerana Ernie kini boleh tersenyum lebar.

Daripada lambakan penyanyi, beliau bertuah kerana disunting sebagai artis di bawah UMM.

Melihat lamaran itu sebagai batu loncatan untuk melebarkan sayap ke negara-negara Asia, Ernie juga berharap ia menjadi kunci buatnya menembus persada Hollywood.

"Insya-ALLAH, mana tahu kalau ada rezeki, kan? Jujur, saya sangat mengagumi kumpulan Dolla. Daripada langsung orang tak kenal mereka, lihatlah di mana mereka sekarang? Saya impikan hal sebegitu dan percaya Universal Music mampu membantu saya merealisasikannya.

"Ia merupakan satu langkah berani yang saya lakukan dalam mengetengahkan bakat diri. Keputusan ini juga adalah yang terbesar yang saya buat dalam karier solo saya setakat ini," jelasnya.

Buah tangan

Semua orang tahu bakat besar yang dimiliki anak kelahiran Kuala Lumpur itu. Pun demikian, tegas Erni, beliau tidak mahu sentiasa berada di zon selesa.

Apatah lagi, saban tahun industri hiburan tidak pernah sunyi daripada kehadiran pelapis baharu yang tidak kurang hebatnya.

"Saya harus selalu sedar diri dan ruang saya akan diisi. Ayat tidak selamat itu kurang sesuai menggambarkan situasi ini, tetapi penting untuk saya terus kekal kerana saya ada perut yang perlu diisi.

Penyanyi bersuara emas ini bakal tampil dengan album sebelum November depan. - Foto Universal Music Malaysia

"Saya bukan nak kata takut, tetapi saya tak mahu berlagak sebab bila-bila masa sahaja saya boleh jatuh. Jadi, penting untuk saya berusaha lebih keras saban tahun," ujarnya.

Sebagai langkah permulaan bersama UMM, Ernie berkata, beliau akan tampil dengan album yang dijangka dilancarkan pada November depan.

Ujar beliau, impian untuk mengeluarkan album sendiri itu sudah lama dibuat dan kini masanya untuk menghadiahkan peminat dengan buah tangan istimewa.

Sudah siap hampir 60 peratus, naskhah tersebut memperlihatkan banyak sentuhan emasnya.

"Saya sangat teruja dengan proses pembikinan album ini kerana saya yang susun apa yang saya mahu dan saya juga yang mencari komposer.

"Malah, saya turut minta kebenaran untuk terlibat secara langsung sama ada menerusi penulisan lirik atau penciptaan lagu," katanya akan berusaha sehabis baik biarpun kesuntukan masa.

Dengan frasa penuh bermakna, Ernie berkata, zaman eksperimennya sudah berakhir.

"Apa yang boleh saya katakan, album ini nanti akan memperlihatkan Ernie Zakri 2.0 dengan muzik yang lebih matang, besar sesuai dengan usia saya kini," jelasnya.