KOTA BHARU - Perikatan Nasional (PN) Kelantan bakal membuat kejutan pada pengumuman calon Pilihan Raya Negeri (PRN) yang dijadualkan berlangsung pada 27 Julai ini.
Setiausaha Perhubungan PN Kelantan, Wan Roslan Wan Hamat berkata, semua calon sudah dimuktamadkan dan selesai membuat tapisan bagi menghadapi pilihan raya itu.
Beliau berkata, pembahagian kerusi melibatkan 45 Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu 39 Pas dan enam untuk Bersatu.
"Kesemua calon Bersatu akan bertanding di DUN Kok Lanas (Ketereh), Gual Ipoh (Tanah Merah), Paloh dan Nenggiri (Gua Musang) dan Air Lanas (Jeli)," katanya kepada pemberita di sini pada Ahad.
Bagaimanapun, Wan Roslan memberitahu, satu lagi DUN belum ditentukan sama ada Kuala Balah atau Bukit Bunga di Parlimen Jeli.
Tambah beliau, kesemua calon yang bertanding akan menggunakan logo bulan dengan tema Kelantan Maju Rakyat Sejahtera.
"Kita tidak meletakkan sebarang kuota usia tetapi hampir 50 peratus ialah muka baharu selain mengekalkan jumlah calon wanita.
Selain itu, beliau turut memaklumkan Manifesto Kelantan akan dilancarkan pada 31 Julai yang menawarkan pelbagai program baharu untuk kepentingan rakyat.
Dalam pada itu, Wan Roslan memberitahu, beberapa tokoh politik negara akan memeriahkan himpunan mega Program Munajat Rakyat Kelantan.
Menurut beliau, antara tokoh berkenaan ialah bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad; Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang, Pengerusi Muafakat Nasional, Tan Sri Annuar Musa dan Ahli Parlimen Arau, Datuk Seri Shahidan Kassim.
"Kita akan mengadakan solat hajat perdana dan munajat bagi memohon kesejahteraan negeri untuk menghadapi PRN dan berkasidah bersama kesemua pimpinan negeri dan pusat," katanya.
Beliau berkata, himpunan terbuka kepada seluruh rakyat Kelantan tanpa mengira fahaman parti politik dan sasaran kehadiran ialah 80,000 orang.