RIO DE JANEIRO - Seorang lagi wartawan menjadi korban di Mexico, kali ini pengarah berita dalam talian ditembak mati di tempat letak kereta sebuah pasar raya di Acapulco, lapor media tempatan pada Sabtu.
Nelson Matus Peña, pengarah Lo Real de Guerrero, ditembak di bahagian kepala, lapor agensi berita Jerman (dpa) memetik laporan akhbar El Sol de Acapulco.
Laman sesawang berkenaan melaporkan mengenai keganasan dan jenayah di pusat peranginan pantai yang terkenal sejak sekian lama.
Menurut akhbar El Universal, laman sesawang Matus adalah yang paling banyak dibaca dalam Guerrero.
Pejabat pendakwa negeri berkata, pihaknya telah membuka kertas siasatan berhubung kes terbabit.
Pada 8 Julai, seorang wartawan ditemukan maut di barat Mexico.
Pertubuhan wartawan antarabangsa Reporters Without Borders (RSF) meletakkan Mexico antara negara paling berbahaya di dunia untuk pengamal media.
Mexico berada di tempat ke-128 daripada 180 dalam kedudukan kebebasan media. - Bernama