SKUAD sepak takraw negara terpaksa akur dengan kehebatan yang dimiliki Thailand selepas tewas 0-2 dalam perlawanan akhir acara berpasukan Kejohanan Sepak takraw Piala Raja Thai 2023 di Korat pada Ahad.
Ketua jurulatih skuad sepak takraw negara, Ahmad Jais Baharun melakukan sedikit pertukaran berbanding ketika menang di separuh akhir menentang Myanmar apabila meletakkan Syahir Rosdi, Khairol Zaman Hamir Akhbar dan Muqlis Borhan sebagai regu pertama.
Iklan
Iklan
Percaturan itu tidak membuahkan hasil apabila tewas 18-21 dan 9-21 kepada regu Thailand, Sittipong Khamchan, Pichet Pansan dan Vichan Temkote.
Hasrat untuk melihat kebangkitan dicipta skuad takraw negara juga tidak kesampaian walaupun regu kedua negara yang dibarisi Zarif Marican Ibrahim Marican, Azlan Alias dan Farhan Adam dilihat memberikan tentang sengit.
Kekalahan itu juga menyaksikan pasukan negara gagal melunaskan dendam ke atas Thailand selepas tewas dalam acara regu pada Selasa lalu.
Untuk rekod, kali terakhir Malaysia meraih kejuaraan Piala Raja Thai adalah pada 1988 manakala, kali terakhir mara ke final pada 2018 namun turut tewas di tangan tuan rumah 0-2.
Artikel Berkaitan