Peniaga ditahan jual filem, peranti elektronik tanpa perakuan

Iklan
Nik Yusaimi menunjukkan kad memori dan alatan elektronik yang dirampas dalam serbuan di sebuah premis di Seberang Takir di Kuala Nerus, pada Ahad.

KUALA TERENGGANU - Seorang peniaga ditahan selepas disyaki memiliki pelbagai peranti elektronik dan bahan al-Quran yang tidak memiliki perakuan oleh Kementerian Dalam Negeri (KDN) dianggarkan bernilai RM61,890.

Setiausaha Bahagian Penguatkuasaan dan Kawalan KDN, Nik Yusaimi Yussof berkata, lelaki berusia 30-an itu ditahan di sebuah premis perniagaan di Seberang Takir, Kuala Nerus kira-kira jam 9.30 pagi pada Ahad.

Iklan
Iklan

Katanya, lelaki itu ditahan dalam operasi Smart Enforcement dijalankan oleh sepasukan anggota Bahagian Penguat Kuasa dan Kawalan (PDK) KDN Putrajaya bersama penguat kuasa KDN Terengganu.

"Anggota penguat kuasa merampas 12 unit pemacu pena (pendrive) mengandungi 12,000 filem pelbagai tajuk, 28 unit kad memori mengandungi 12,040 filem pelbagai tajuk dan 25 unit pemain video disyaki digunakan untuk menonton filem terbabit.

Iklan

"Kita turut merampas satu unit komputer riba mengandungi 2,000 filem pelbagai tajuk dan satu unit cakera keras mengandungi 2,000 filem pelbagai tajuk.

"Turut dirampas dalam serbuan itu ialah 25 unit kad memori mengandungi 30 juzuk ayat al-Quran dan 25 unit radio elektronik dipercayai untuk kegunaan bagi mendengar ayat al-Quran tersebut," katanya kepada pemberita dalam sidang akhbar, di sini pada Ahad.

Iklan

Menurut Nik Yusaimi, rampasan itu dilakukan melibatkan filem yang tiada perakuan B dan bahan al-Quran elektronik yang tidak mempunyai perakuan KDN menerusi Lembaga Pengawalan dan Pelesenan Pencetakan Al-Quran (LPPPQ) di bawah APTQ 1986.

Katanya, kesemua barangan itu disita bagi membolehkan siasatan dilakukan di bawah Seksyen 18 (4) Akta Penapisan Filem (APF) 2002 dan Seksyen 7 (1) Akta Pencetakan Teks Al-Quran (APTQ) 1986.

Dalam pada itu, beliau memberitahu, kegiatan penjualan barangan seumpama itu dengan menggunakan pelbagai platform media sosial dan E-dagang semakin berleluasa.

Justeru, katanya, orang ramai diminta menyalurkan maklumat kepada pihak berkuasa bagi mengekang aktiviti berkenaan.

"Kita nasihatkan masyarakat supaya tidak terlibat dalam sebarang aktiviti membeli, memiliki, menerbitkan dan menjual filem yang tiada perakuan serta teks atau bahan al-Quran yang tidak mendapat kelulusan KDN.

"Mana-mana individu yang didapati bersalah atau terlibat dalam kegiatan itu boleh dihukum penjara atau denda atau kedua-duanya sekali berdasarkan kesalahan yang dilakukan," katanya.