Saifuddin 'tunggu' saman Sanusi

Iklan
Laporan Sinar Harian.

BANDAR BAHARU - Ketua Setiausaha Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail mengalu-alukan tindakan saman yang mahu diambil oleh Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor terhadapnya berhubung isu kecurian unsur nadir bumi (REE).

Dakwanya, fakta yang tidak boleh diubah dalam kes kecurian REE itu ialah tidak ada syarikat yang diberikan lesen eksport sehingga mineral yang diperoleh secara tidak sah itu boleh dibawa sehingga ke Pelabuhan Klang.

Iklan
Iklan

"Fakta lain sebahagian yang ditangkap telah dibuat pertuduhan di bawah subseksyen berkaitan, fakta berikutnya memang benar MBI Kedah diberikan notis kompaun oleh Pengarah Tanah dan Galian (PTG).

"Fakta berikutnya Perbadanan Menteri Besar (MBI) Kedah antara berbelas syarikat yang diberikan lesen oleh kerajaan negeri, sama ada meneroka atau mencari gali, tetapi yang paling jelas kesemua yang memperoleh lesen itu tidak ada kebenaran lesen melombong,” katanya kepada media selepas meninjau Loji Rawatan Air (LRA) Lubuk Buntar di sini pada Ahad.

Iklan
Saifuddin (tengah) ketika membuat lawatan ke tapak projek Loji Rawatan Air di Lubuk Buntar, Bandar Baharu, pada Ahad.

Bagaimanapun, Menteri Dalam Negeri itu menegaskan banyak persoalan yang masih perlu dijawab oleh Ketua Pengarah Pilihan Raya Perikatan Nasional (PN) tersebut kerana beliau tidak boleh dengan mudah menyatakan MBI Kedah tiada kaitan dalam kejadian itu.

Tambah Saifuddin, belum ada prosedur operasi standard (SOP) berkaitan perlombongan nadir bumi yang disediakan oleh Kementerian Sumber Asli Alam Sekitar dan Perubahan Iklim seperti dimaklumkan sendiri oleh Muhammad Sanusi bahawa mereka sedang menunggu perkara itu.

Iklan

"Malah yang ditangkap sebelum ini termasuk warga asing dan mereka ada yang visa kerja dikeluarkan daripada perakuan MBI Kedah. Masuk bekerja betul diuruskan oleh MBI dan syarikat (usahasama) berkenaan dan (akhirnya) ditangkap mesti ada sebab antaranya ceroboh hutan simpan yang kalau masuk tanpa permit jabatan hutan boleh ditangkap, itu realiti Kedah,” katanya.

Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan kenyataan Muhammad Sanusi yang akan mengambil tindakan undang-undang terhadap Saifuddin berhubung isu REE.

Dakwa Muhammad Sanusi, maklumat yang dinyatakan Saifuddin tidak benar kerana dianggap mengelirukan dan bermotifkan politik.

Menurut Muhammad Sanusi, MBI Kedah bukan dikompaun atas kesalahan mencuri mineral berkenaan tetapi disebabkan agensi terbabit adalah pemegang permit ladang hutan di kawasan yang berlaku kecurian.

Terdahulu, pendedahan oleh Saifuddin bahawa MBI Kedah dikenakan kompaun berjumlah RM500,000 kerana terlibat dalam kejadian mencuri REE di Kampung Chong, Sik.