Warga emas OKU hilang sejak Selasa ditemui selamat

Iklan
Foto hiasan

IPOH - Seorang lelaki Orang Kurang Upaya (OKU) yang dilaporkan hilang sejak Selasa lepas ditemukan selamat di sebuah kebun getah di pekan Karai dekat Kuala Kangsar, semalam.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Sungai Siput, Mohd Jamaluddin Mat Yusof berkata, Syed Mohd Hiruddin Syed Mahmood, 65, dijumpai dalam keadaan lemah pada 4.20 petang oleh orang awam dan dibawa keluar dari kebun getah itu oleh pasukan bomba.

Iklan
Iklan

Beliau berkata, warga emas itu dipercayai keluar dari rumahnya di Kampung Enggor, Kuala Kangsar kira-kira 1 tengah hari Selasa dengan berjalan kaki seorang diri.

"Pasukan bomba menjalankan operasi mencari dan menyelamat selepas menerima laporan berkaitan orang hilang semalam. Mangsa dihantar ke Hospital Sungai Siput untuk rawatan," katanya ketika dihubungi hari ini.

Iklan

Sebelum ini, kehilangan Syed Mohd Hiruddin disedari anaknya apabila mendapati bapanya yang merupakan OKU pendengaran dan pertuturan itu tidak pulang ke rumah dan kemudian membuat laporan di Balai Polis Karai.

Syed Mohd Hiruddin yang memakai kemeja-T dan berkain pelekat dikatakan kali terakhir dilihat berjalan kaki di hadapan Sekolah Kebangsaan Karai kira-kira 7 malam, Selasa lepas.

Iklan

Gerakan mencari warga emas itu dilakukan orang kampung sejauh 10 kilometer dan dia juga dikatakan kali terakhir dilihat di Kampung Loh, Kampung Intan Suraya dan jalan keluar pekan Karai. - Bernama