MERAK Jalanan nak minta maaf awal-awal kepada abang-abang, akak-akak, makcik dan pakcik yang menjadi pengendali van atau bas sekolah. Sebab Merak Jalanan nak tegur cara sesetengah pemandu van sekolah ini bawa kenderaan mereka, macam pandu kereta Formula 1. Laju sangat!
Dah lama Merak Jalanan nak tegur pasal isu ini sebab yang menjadi keprihatinan ialah tentang isu keselamatan murid dan pelajar sekolah yang jadi penumpang dalam van sekolah itu.
Minggu lepas, entah untuk kali ke berapa, nyaris-nyaris kereta Merak Jalanan nak bertembung dengan van sekolah yang dipandu agak laju di lorong perumahan. Kita sedia maklum, kelajuan maksimum di kawasan taman perumahan adalah 30kmj. Tapi ada pemandu van sekolah yang tekan pedal minyak sampai 40kmj hingga 60kmj.
Lepas itu, tak hirau pun di simpang jalan ke, jalan lurus ke, selekoh ke, dia hentam saja atas alasan nak kejar masa takut lambat hantar pelajar ke sekolah.
Kejar masa tak boleh dijadikan alasan untuk anda semua pandu van sekolah dengan laju. Pemandu van sekolah kena ingat, anda bawa puluhan nyawa pelajar. Kalaulah terjadinya kemalangan, berapa ramai nyawa anak-anak kecil dan remaja itu akan terancam.
Mungkin akan ada pemandu van sekolah yang akan kata Merak Jalanan tak faham dengan masalah-masalah kerja mereka. Merak Jalanan tak tahu punca mereka pandu laju sebab ada murid yang lewat naik van sekolah itu sehingga ganggu rutin dan melambatkan jadual perjalanan.
Walau apa pun masalah dan alasan, pengendali van atau bas sekolah patut tahu macam mana nak urus segala permasalahan itu kerana mereka sebenarnya bermain dengan nyawa orang.
Merak Jalanan berharap teguran ikhlas ini tak buatkan akak-akak, abang-abang, makcik dan pakcik pemandu van sekolah sentap. Merak Jalanan memang prihatin dengan keselamatan pelajar sekolah dan orang awam lain.