IBR EKSPS: Elak terjebak rasuah, jalan tugas dengan amanah

Iklan
Ikrar Bebas Rasuah dipimpin oleh Ejen Korporat,Mejar (B) Zulkiflee Abdul Latiff (dua dari kanan) disaksikan Ketua Cawangan Kerajaan dan Agensi, Bahagian Pendidikan Masyarakat SPRM, PKPj Samsul Salip (dua dari kiri) dan Timbalan Ketua Eksekutif Perkeso, John R Marin (kiri).

SHAH ALAM - Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) dengan kerjasama Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengadakan Majlis Ikrar Bebas Rasuah (IBR), dalam usaha meningkatkan integriti dan menzahirkan komitmen Ejen Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (EKSPS) lantikan Perkeso agar bebas daripada gejala rasuah ketika menjalankan tanggungjawab mereka.

Timbalan Ketua Eksekutif Perkeso, John R Marin berkata, IBR merupakan satu inisiatif yang telah dilakukan oleh SPRM bertujuan memberi penekanan dan meningkatkan iltizam kepada ejen korporat yang dilantik menjauhi penyalahgunaan kuasa dan terlibat dengan salah laku khususnya rasuah.

Iklan
Iklan

Katanya, IBR ini memberikan penekanan kepada ikrar dan janji yang dibuat oleh para kepimpinan organisasi dan warganya secara sukarela atas kapasiti sebagai ejen korporat dalam memastikan setiap mereka yang menandatangani ikrar tersebut akan lebih bertanggungjawab dan menjauhkan diri daripada sebarang perlakuan rasuah selama mereka memegang jawatan tersebut.

"Saya sentiasa berharap dan mendoakan agar semua ejen korporat dapat menjauhkan diri daripada melakukan sebarang salah laku termasuk rasuah selama mana mereka menjalankan amanah yang dipertanggungjawabkan.

Iklan

"Perbuatan rasuah juga akan menyebabkan imej, persepsi dan kepercayaan masyarakat kepada sesuatu organisasi terjejas.

"Bak kata pepatah, ‘kerana nila setitik, rosak susu sebelanga’. Saya amat percaya dan yakin semua ejen korporat dilantik dapat menjauhi perbuatan ini demi menjaga imej baik diri sendiri, keluarga dan Perkeso khususnya," katanya ketika berucap pada majlis Taklimat Integriti dan Anti Rasuah serta Majlis Ikrar Bebas Rasuah EKSPS Jumaat, di Menara Perkeso.

Iklan

Majlis IBR berkenaan disertai oleh 40 agensi yang bertindak sebagai EKSPS yang dilantik Perkeso bagi mengutip caruman daripada pencarum Perkeso di seluruh negara.

Tambah John, bagi menentukan keputusan sesuatu perkara, ia mestilah diperhalusi berkali-kali secara berhemah untuk kelulusan di peringkat Perkeso dan bagi melaksanakan sesuatu keputusan, ia mestilah mengikut saluran undang-undang, prosedur dan tatacara yang telah ditetapkan.

"Pentingnya kita memberi fokus kepada pematuhan prosedur dan peraturan kewangan pada setiap masa dalam membuat apa saja keputusan supaya tidak berlaku penyelewengan.

"Pematuhan kepada prosedur dan peraturan ini dalam membuat sebarang keputusan akan membawa kesan positif dalam jangka masa panjang di mana tugasan yang dilakukan oleh ejen korporat dapat dilaksanakan dengan lebih teratur dan selamat," katanya.