KELAB Serie A Itali, Sassuolo mendapat tonik mujarab menjelang sepak mula liga menentang Atalanta pertengahan Ogos ini selepas membelasah pasukan Serie C, Real Vicenza 22-0 dalam perlawanan pramusim.
Lapan pemain berbeza dari Sassuolo menjaringkan gol tidak memberi peluang kepada Real Vicenza dengan akaun gol awal dibuka pada minit kedua menerusi Andrea Pinamonti.
Pada minit ke-11, Pinamonti melebarkan kedudukan sebelum Janis Antiste menambah perbezaan gol pada minit ke-20, diikuti Domenico Berardi yang menemui jaringan tiga minit kemudian.
Berardi menjaringkan gol kelimanya pada minit ke-28, sebelum Antiste menambah satu lagi gol minit ke-30.
Georgios Kyriakopoulos menjaringkan gol pada minit ke-36, disusuli gol Pinamonti menemui jaringan sekali lagi pada minit ke-41.
Antiste menjaringkan satu lagi gol pada minit ke-44, diikuti jaringan Mateus Enrico pada minit ke-45 untuk kedudukan 10-0 separuh masa pertama.
Pada awal separuh masa kedua, Nedim Bayrami menjaringkan gol pada minit ke-48, sebelum Christian Torseth menjaringkan gol pertamanya di minit ke-51 dalam perlawanan itu.
Bayrami kembali menjaringkan gol pada minit ke-64 sebelum sembilan minit berikutnya tiada sebarang jaringan dijelmakan pemain Sassuolo.
Namun Mulattieri menemui jaringan Sassuolo sekali lagi pada minit ke-73 diikuti Bayrami menjaringkan gol pada minit ke-79.
Menjelang penghujung perlawanan, Torseth (minit ke-83, minit ke-90) dan Mulattieri (minit ke-85, minit ke-88) masing-masing menjaringkan dua lagi gol.
Perlawanan itu juga menyaksikan Mulattieri muncul penjaring terbanyak dengan lima gol, diikuti rapat Torseth dengan empat gol.
Pinamonti, Antiste, dan Bayrami masing-masing menjaringkan tiga gol manakala Berardi menjaringkan dua gol.
Sementara Kyriakopoulos dan Mateus Enrico masing-masing menyumbang satu gol setiap satu.