JKR Johor buat kajian dalaman tangani isu kesesakan trafik

Iklan
Mohamad Fazli (dua dari kiri) ketika meninjau Lebuhraya EDL, pada Ahad.

JOHOR BAHRU - Jabatan Kerja Raya (JKR) Johor bakal melakukan kajian dalaman bagi menyelesaikan isu kesesakan trafik yang melibatkan lima laluan di sekitar bandar raya ini.

Exco Kerja Raya, Pengangkutan dan Infrastruktur negeri, Mohamad Fazli Mohamad Salleh berkata, kajian berkenaan akan bermula dalam masa terdekat dan dijangka selesai dalam tempoh beberapa minggu lagi.

Iklan
Iklan

Menurutnya, lima jalan yang menjadi punca kesesakan telah dikenal pasti iaitu jalan Stulang Laut, Lingkaran Dalam, Lebuhraya EDL (Lebuhraya Skim Penyurai Trafik Johor Bahru), Jalan Ibrahim Sultan dan Jalan Bukit Chagar.

"Kesesakan di kesemua laluan ini berlaku pada waktu puncak khususnya mereka (orang ramai) nak ke Singapura selain pada waktu hujung minggu dan ketika musim-musim perayaan.

Iklan

"Kita juga dapati kesesakan ini berpunca daripada pembinaan dua projek mega iaitu RTS (Sistem Transit Rapid) dan landasan berkembar elektrik Gemas-Johor Bahru, terutama di sepanjang Jalan Tebrau ke Jalan Tun Razak.

"Oleh itu, kita akan ambil tindakan susulan kerana kesesakan ini berlaku mengikut waktu tertentu. Antara tindakan awal kita adalah menempatkan anggota polis pada waktu puncak bagi menyuraikan laluan tertentu,” katanya pada sidang media selepas melakukan tinjauan keadaan trafik di EDL, pada Ahad.

Iklan

Hadir sama, Pengarah Projek RTS Link, Ir Zulkifli Mohamed dan Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner, Raub Selamat.

Mohd Fazli berkata, pihaknya menyediakan pelan jangka pendek, jangka sederhana dan jangka panjang bagi menyelesaikan isu kesesakan berkenaan.

Bagaimanapun katanya, kesemua pelan berkenaan akan dilaksanakan berdasarkan kepada hasil kajian yang diperoleh kelak.

"Hasil kajian kita, hampir 100,000 pengguna jalan raya menggunakan laluan ini (lima jalan) pada satu masa. Pada waktu puncak didapati ia berlaku dari pagi ke malam dan pada waktu kritikal boleh sampai ke pagi.

"Apa pun bagi TIA (Traffic Impact Assessment), kita fokus kepada lima jalan terbabit di mana mengikut waktu tertentu sehingga 50 anggota polis ditempatkan berbanding hanya lapan anggota pada hari-hari biasa.

"Selain itu, bagi Jalan Tun Razak ke BSI (Bangunan Sultan Iskandar) melalui Jalan Storey/Jalan Bukit Chagar, ditutup pada waktu puncak, hari minggu dan cuti umum perayaan. Pada hari-hari biasa, jalan ini dibuka,” katanya.