PUTRAJAYA - Berlaku adil kepada semua orang dan sentiasa mengingati sumpah jawatan, ini antara tip untuk menjadi hakim yang baik, kata Ketua Hakim Negara wanita pertama negara, Datuk Tengku Maimun Tuan Mat hari ini.
Tengku Maimun berkata seorang hakim yang adil adalah hakim yang sentiasa mengingati sumpah jawatan yang dilafazkannya dan sentiasa berpegang kepada kod etika yang termaktub dalam kod etika hakim.
"Dan tentunya prinsip-prinsip asas lain yang terkandung dalam prinsip-prinsip Bangalore (perilaku kehakiman), semua itu adalah kriteria dan kualiti... kualiti lain seperti memastikan pihak-pihak yang dihakimi mempunyai hak untuk didengar di mahkamah, jika anda perlu tegur peguam, maka tegurlah dengan sopan, berlaku adil kepada semua.
Layani peguam, baik peguam kanan atau junior secara sama rata. Sudah tentu kecekapan menjadi keutamaan. Apa yang saya maksudkan dengan cekap adalah jika ada garis masa, maka anda mematuhi garis masa tetapi tidak berkompromi dengan kualiti kerja anda,"katanya.
Tengku Maimun menjawab soalan berhubung apakah kriteria peribadi untuk menjadi hakim yang seadfil-adilnya pada sidang media di pejabatnya di Istana Kehakiman di sini hari ini. Prinsip-prinsip Perilaku Kehakiman Bangalore mengandungi enam nilai teras badan kehakiman - Kebebasan, Tidak Berat Sebelah, Integriti, Kesempurnaan, Kesaksamaan, Kecekapan dan Ketelitian. Ia bertujuan untuk menetapkan etika tatalaku yang standard bagi hakim.
Kepada soalan bahawa sebagai Ketua Hakim Negara wanita pertama, apakah mesej yang beliau sampaikan kepada peguam muda, Tengku Maimun berkata,"Bersikap jujur, dan bekerja keras".
Hakim berusia 59 tahun itu juga menolak spekulasi bahawa untuk menjadi hakim tertinggi, hakim mesti menulis penghakiman menentang.
"Rasanya tak lah banyak mana"dissenting judgment"saya. Dan saya tidak fikir itu satu criteria yang perlu untuk dilantik sebagai hakim atau naik pangkat, Kriterianya banyak.
Tentu sekali independence, kebolehan memutuskan berdasarkan fakta di hadapannya tanpa mengambil kira faktor-faktor lain, itu penting dan juga integriti."Jadi soal menulis"dissenting judgment” pada saya, tidak perlu. Kalau kebetulan perlu, it is not always you have to dissent. Kalau perlu untuk satu penghakiman yang sebulat suara, tidak bermaksud itu suatu yang tidak baik.
"Tak boleh nak buat penilaian seseorang hakim itu sama ada hakim itu pernah atau banyak membuat penghakiman menentang. Itu bukan criteria. Kalau secara kebetulan seorang hakim itu perlu menulis satu penghakiman menentang, itu secara sendirinya, tidak bermakna dia lebih baik daripada hakim yang tak pernah menulis secara menentang,” katanya.
Beliau juga tidak bersetuju bahawa salah satu kriteria untuk menjadi hakim yang baik ialah menulis penghakiman yang ringkas lagi padat.
Beliau dirujuk kepada penghakiman satu halaman yang mendapat pujian daripada seorang hakim Mahkamah Persekutuan berhubung kes melibatkan Menang Holdings yang beliau putuskan ketika menjadi majistret di Port Dickson.
Allahyarham Tan Sri Azmi Kamaruddin (Hakim Mahkamah Persekutuan) kemudian menjawab penghakiman satu halaman itu melalui surat kepada Tengku Maimun."Mesejnya kepada saya adalah bahawa ia adalah penghakiman yang ringkas lagi padat dan bahawa penghakiman harus menjadi contoh atau model bagi majistret lain untuk mencontohinya. Setiausaha Azmi memberitahu saya bahawa beliau mempunyai banyak kes lain untuk dibaca tetapi apabila membaca penghakiman yang ringkas, beliau gembira.
"Beliau gembira kerana tidak perlu membazirkan masa untuk membaca penghakiman yang panjang berjela-jela untuk tujuan rayuan daripada mahkamah rendah," kata hakim tertinggi itu.
Ketika ditanya apakah perasaannya menjadi Ketua Hakim Negara yang kedua termuda pada usia 59 tahun, Tengku Maimun berkata"Adakah benar saya hakim yang kedua termuda. Ia bukan isu untuk saya. Ini adalah rezeki,"
Kepada soalan bahawa sebagai hakim junior judge, apakah perasaannya melangkau hakim-hakim kanan untuk menyandfang jawatan tertinggi dalam badan kehakiman, Tengku Maimun semua ini adalah ketentuan ALLAH.
"Ini bukan satu jawatan yang dimohon. Ini rezeki dari ALLAH. Saya percaya walaupun saya junior, senior yang saya langkau, tiada perasaan kurang senang. Sebagai seorang Muslim, ini adalah ketentuan ALLAH. Jika ia sudah ditentukan untuk kita, ia akan menjadi milik kita,” kata beliau. Tengku Maimun juga berikrar untuk meneruskan apa sahaja pembaharuan yang ketua hakim negara sebelumnya, Tan Sri Richard Malanjum telah memulakan ketika beliau menjadi Ketua Hakim Negara.
"Kita akan menambahbaik dan sebagainya. saya perlu duduk berbincang dengan (presiden mahkamah rayuan, Hakim Besar Malaya dan Hakim Besar Sabah dan Sarawak). saya [percaya, banyak perkara yang telah dimulakan oleh Tan Sri Malanjum yang kita boleh teruskan.
Saya perlu settle down dahulu. Terlalu awal untuk saya sebut perancangan saya. Keempat- empat kami (beliau, presiden Mahkamah Rayuan, Hakim Besar Malaya dan hakim Besar Sabah dan Sarawak) akan membuat keputusan secara kolektif dan duduk berbincang bersama,” kata beliau.
Beliau juga menekankan tentang cabaran utama yang beliau jangka adalah untuk mengekalkan keyakinan orang ramai kepada badan kehakiman dan menguruskan persepsi negatif orang ramai.
Tengku Maimun menyangkal dakwaan berlaku salah guna kuasa oleh seorang hakim. Ketika ditanya mengenai kes Datuk Seri Najib Tun Razak, beliau berkata semua kes harus dianggap sebagai kes biasa sama ada ia berprofil tinggi atau kes biasa.
"Ini adalah harapan orang ramai. Dari segi prosedur, apa yang biasa tetap terpakai dalam kes yang dianggap berbeza itu. Dari sudut mahkamah, sama sahaja,” kata beliau dan menambah Mahkamah Tinggi Jenayah telah ditubuhkan di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur berikutan banyaknya kes-kes berprofil tinggi yang difailkan di Kuala Lumpur. -Bernama