INGIN lari daripada kebiasaan, pereka duo terkenal Rizman Ruzaini memilih untuk merayakan sambutan ulang tahun kedua jenama tudung mereka iaitu RR Mono Scarves yang dibuat secara berperingkat.
Rizman, 39, atau nama sebenarnya Rizman Nordin berkata, antara yang menarik perhatian adalah pembukaan 'pop-up store' jenama RR yang terletak di KL East Mall, Kuala Lumpur.
"Bulan ini adalah ulang tahun kedua untuk RR Mono Scarves daripada Rizman Ruzaini. Seperti tahun lalu, kami adakan sambutan secara besar-besaran bagi meraikan pencinta skaf kami.
"Acara kemuncak pula adalah sambutan ulang tahun skaf Rizman Ruzaini pada 29 Julai ini. Kami menjemput mereka yang sudah memiliki RR Mono Scarves dan istimewa untuk 200 yang pertama akan dapat tudung edisi khas Rizman Ruzaini secara percuma,” katanya yang cukup dikenali dalam industri fesyen dan hiburan tanah air ini.
Sementara itu, Ruzaini mengakui sangat gembira kerana jenama RR ini mendapat sokongan daripada peminat skaf.
"Kami di Rizman Ruzaini memang sangat mementingkan kualiti. Disebabkan itu, kebanyakan pembeli terus setia dengan jenama ini.
"Selain itu, kami sangat aktif mengeluarkan skaf dan boleh dikatakan, setiap bulan ada keluaran baharu. Apa yang kami lakukan ini supaya pelanggan dapat mengumpul pelbagai jenis skaf keluaran kami," katanya.
Acara sambutan ulang tahun kedua RR Mono Scarves di KL East Mall turut dimeriahkan dengan persembahan istimewa daripada dua penyanyi terkenal tanah air iaitu Ziana Zain dan Ernie Zakri.