ROM - Dinding Colosseum terkenal di Rom sekali lagi dicemari, kali ini oleh seorang pelancong remaja lelaki Jerman, lapor Agensi Berita Jerman (dpa) memetik media tempatan.
Remaja berusia 17 tahun itu didakwa mencalarkan batu bata di dalam amfiteater.
Menurut laporan itu, pelajar berkenaan ditahan oleh anggota keselamatan dan diiringi seorang guru.
Kejadian itu merupakan kes ketiga dalam tempoh beberapa minggu dan akan dikenakan denda.
Beberapa tahun lepas, seorang pelancong Rusia didenda sebanyak €20,000 (AS$22,442).
Jumaat lepas, seorang pelancong wanita dari Switzerland ditahan kerana menconteng huruf pertama namanya di dinding.
Pada penghujung Jun, seorang pemuda dari England menconteng namanya dan teman wanitanya di dinding yang telah mencetuskan kemarahan rakyat.
Lelaki berusia 31 tahun itu kemudian memohon maaf dengan alasan tidak mengetahui pentingnya monumen itu.
Mercu tanda Rom, yang berusia kira-kira 2,000 tahun itu merupakan antara tarikan pelancong paling popular di Itali dan dianggap sebagai simbol Kota Abadi. - Bernama-dpa