KUALA LUMPUR -"Perkara pertama yang saya nak buat, jumpa mak saya di Sepang, dia sakit, itu keutamaan saya,” kata bekas penyampai radio, Ismahalil Hamzah sejurus dibebaskan oleh Mahkamah Tinggi di sini pada Isnin, atas tuduhan mengedar dadah jenis kanabis, pada 2021 lalu.
Ismahalil, 50, yang memakai baju T dan berkupiah putih berkata, sepanjang dua tahun ditempatkan di Penjara Sungai Buloh, dia hilang banyak masa bersama keluarga.
Dia berkata, Oktober depan pula, dia tidak sabar untuk mewalikan perkahwinan anak perempuannya.
"Sepanjang dipenjarakan, saya macam mati namun masih bernafas sebab tiada hubungan luar, namun Alhamdulillah... ALLAH bagi saya bernafas semula, pengalaman itu beri pengajaran yang cukup besar.
"Berbekalkan semangat yang ada, radio ‘Bapakku FM’ akan dibuka semula, cuma beri sedikit masa, saya akan teruskan kembali sebagai penyampai radio,” katanya.
Katanya, ia kerana tidak mungkin dia dapat berkongsi pengalaman yang dihadapi, dalam seminit.
"Insya-ALLAH, saya akan adakan majlis doa kesyukuran, saya memohon semua pihak memberi masa sebulan, untuk saya berehat,” kata juruhebah yang popular sejak 1990-an ini, ketika ditemui di lobi mahkamah.
Pada Isnin, Ismahalil dibebaskan daripada satu tuduhan mengedar dadah jenis kanabis anggaran berat 374.6 gram, dua tahun lalu.
Hakim, Datuk Muhammad Jamil Hussin memutuskan demikian selepas lelaki itu berjaya menimbulkan keraguan munasabah pada akhir kes pembelaan.
Dalam kes ini, pembelaan diwakili peguam, Datuk Ahmad Zaharil Muhaiyar dan Adi Zulkarnain Zulkafli sementara pendakwaan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Noor Dayana Mohamad.
Pada 6 September 2021, dia didakwa kali pertama di Mahkamah Majistret di sini, atas pertuduhan berkenaan.
Pada 21 Februari tahun lalu, Ismahalil mengaku tidak bersalah atas satu pertuduhan mengedar dadah itu di sebuah rumah di Jalan Semarak, Wangsa Maju di sini, pada 5.35 petang, 27 Ogos 2021.
Dia dituduh mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 39B(2) akta sama yang memperuntukkan hukuman mati, jika sabit kesalahan.
Pada 27 Februari lalu, Ismahalil menangis sambil memandang ke arah isteri dan anak-anaknya, selepas mahkamah memerintahkan dia membela diri atas tuduhan tersebut.
ARTIKEL BERKAITAN:
DJ Ismahalil menangis diperintah bela diri edar dadah
Ismahalil mengaku tidak salah edar dadah
Keputusan kes dadah Isma Halil diketahui 27 Februari
Bicara kes dadah Ismahalil bermula 19 Oktober
Kes dadah Isma Halil pindah ke Mahkamah Tinggi
[VIDEO] Bekas penyampai radio Ismahalil bebas, terlepas hukuman mati