KAMPAR - Orang ramai dialu-alukan menggunakan kreativiti sendiri bagi menyemarakkan lagi semangat patriotik sempena Bulan Kemerdekaan dan Kempen Kibarkan Jalur Gemilang yang sedang berlangsung ketika ini.
Exco Komunikasi, Multimedia dan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) Perak, Mohd Azlan Helmi berkata, bagaimanapun sebarang inisiatif yang dibuat untuk memeriahkan lagi bulan kemerdekaan perlu dilakukan dengan berhati-hati tanpa menghina bendera negara.
"Dalam keghairahan kita untuk menyemarakkan semangat cintakan negara melalui pelbagai kreativiti yang dibuat, janganlah sampai berlaku penghinaan terhadap Jalur Gemilang ini. Pastikan bendera negara diletakkan di tempat yang sesuai.
"Kita juga amat menggalakkan semua premis sama ada milik kerajaan mahu pun swasta atau kediaman masing-masing mengibarkan Jalur Gemilang sempena bulan kemerdekaan," katanya kepada pemberita selepas program Pelepasan Konvoi Kembara Merdeka dan Jalur Gemilang di sebuah pasar raya di sini pada Ahad.
Majlis pelepasan konvoi berkenaan disempurnakan Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil.
Mohd Azlan berkata, setiap kibaran Jalur Gemilang di setiap premis dan rumah menandakan kecintaan kepada negara.
Menurutnya, orang ramai juga perlu prihatin terhadap setiap bendera dipasang agar tidak berlaku kesilapan yang membawa kepada penghinaan Jalur Gemilang seperti dipasang terbalik dan sebagainya.
Jelasnya, bendera yang usang juga perlu diganti dengan bendera baharu selain tidak membuang Jalur Gemilang di merata tempat.
Beliau berkata, pihaknya juga akan turut berkongsi maklumat berkaitan Jalur Gemilang supaya dapat dimanfaatkan oleh orang ramai.