Angin baharu kebebasan media

Iklan

PADA 3 Mei lalu, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad memuji dan mengucapkan tahniah kepada media Malaysia susulan kejayaan membaiki ranking Indeks Kebebasan Media Dunia.

Kelmarin, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail pula menyifatkan peranan media kekal penting untuk proses semak dan imbang dalam demokrasi yang sihat.

Iklan
Iklan

Beliau berkata, pengamal media di Malaysia kini menikmati angin perubahan apabila mereka bebas melaporkan berita selain kurangnya kawalan daripada pihak kerajaan.

"Namun dalam menikmati kebebasan mestilah datang bersekali dengan tanggungjawab untuk menjaga etika kewartawanan dan fakta yang tepat,” katanya.

Iklan

Reaksi tersebut adalah susulan kedudukan media Malaysia yang melonjak sehingga 22 anak tangga membolehkan kita menduduki tempat ke-123 daripada 180 negara (pada 2018 kita di tangga ke-145) dalam ranking Indeks Kebebasan Media Dunia 2019 sempena Hari Kebebasan Akhbar Dunia.

Indeks terbaharu yang dikeluarkan pertubuhan Reporter Without Borders meletakkan Malaysia pendahulu dari segi kebebasan dalam kalangan negara-negara rantau Asia Tenggara.

Iklan

Malaysia berada pada kedudukan terbaik pada 2006 (di tangga 92) tetapi mula merosot sehingga 2010 (di tangga 141), baik sedikit pada 2012 (di tangga 122) dan terus merosot sehingga sekarang.

Permainan turun naik ranking itu sebenarnya tidak memberi banyak impak kepada kebebasan media di negara ini. Kejayaan melaporkan dan menyampaikan berita dengan bebas tanpa dikuasai, dikawal dan dihalang oleh pemerintah dan pihak bersekongkol dengannya belum dapat ditakrifkan. Kebebasan media bergerak seiring dengan tanggungjawab. Ibarat seorang pemandu kapal selam, dia harus membawa kapal selamnya mengikut laluan yang ditetapkannya.

Dia perlu terus berkomunikasi dengan pusat kawalan, merujuk alat navigasi kerana kalau dia memandu kapal selamnya secara sesuka hati tanpa bimbingan, kemalangan pasti berlaku.

Wahyu

Penasihat Media dan Komunikasi Perdana Menteri, Datuk A Kadir Jasin pada sesi dialog bersama media pada Februari lalu dilaporkan berkata, kerajaan baharu Pakatan Harapan telah menghentikan tradisi ‘wahyu’ atau arahan khas kepada media seperti diamalkan pentadbiran sebelum ini.

"Saya cuma minta mereka lakukan apa sahaja dengan akhbar mereka kerana tidak ada sesiapa yang mengawal mereka,” katanya.

Kenyataan tersebut memberi gambaran media pasca PRU14 mempunyai upaya untuk menyampaikan maklumat dan suara hati masyarakat tanpa kawalan ketat. Penyampaian maklumat dan berita dikatakan semakin terbuka dan tidak lagi bersifat sehala. Benarkah?

Bagi bekas Penolong Ketua Pengarang Kumpulan Utusan, Datuk Zaini Hassan, kebebasan media bersifat subjektif dan beliau bertanya adakah ia akan dilihat bebas apabila mengkritik kerajaan atau pembangkang secara terbuka?

"Jika ada menteri atau pemimpin melenting akibat ditegur media hingga membawa ke mahkamah, di mana bebasnya?” soal beliau.

Zaini yang kini Penasihat Editorial portal berita Bebasnews.my berpendapat, perubahan kedudukan media negara dalam Indeks Kebebasan Media Dunia 2019 berkait rapat dengan kenyataan-kenyataan yang dibuat kerajaan kini.

"Tetapi persoalannya, adakah ia boleh diterima pakai dan akan dikotakan atau sekadar satu kenyataan?” soalnya.

Dalam meraikan media pasca PRU14 bebas kawalan kerajaan, agak kontradik apabila Jawatankuasa Khas Pembaikan Sistem dan Undang-undang Pilihan Raya (ERC) sedang mengkaji untuk mewujudkan undang-undang bagi mengawal media ketika musim pilihan raya.Pengerusinya, Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman berkata, langkah itu bertujuan memastikan wujudnya keadilan kepada semua parti bertanding sekali gus menghidupkan demokrasi dalam sistem pilihan raya negara ini.

Niat ERC mencipta keadilan wajar dipuji namun mencipta undang-undang mengawal media sebenarnya merupakan kawalan terhadap kebebasan media seperti dipraktik pemerintah lama. Kebebasan media sepatutnya bersifat sepanjang masa dan bukan terhad mengikut musim.

Pembaca mahukan pengisian berita dan laporan yang telus dan tulus. Media pula berperang dengan masalah kredibiliti dan integriti yang terus diragui. Melabel media sebagai bersifat lapdog dan bukan watchdog juga perlu dihapuskan.

Perjuangan kebebasan media yang diamalkan akan kekal diimbangi dengan tanggungjawab. Sebarang fakta tidak boleh digoreng hingga fitnah dianggap berita sahih!

***Khairul Amri ialah Editor Sinar Harian Edisi Tengah