PENYANYI hip hop popular, Joe Flizzow menunaikan janji untuk memberi kelainan dan meninggalkan memori indah buat 1,500 peminat yang hadir menyaksikan konsert solo pertamanya, Joe Flizzow-This is Johan Live In Concert.
Dengan pengalaman lebih 20 tahun dalam industri, Joe atau nama sebenarnya Johan Ishak tampil dengan persembahan bertenaga dengan 36 seleksi lagu popularnya menerusi konsert yang berlangsung pada Sabtu di JIO Space, Petaling Jaya.
Memulakan persembahan tepat jam 9 malam, penyanyi berusia 44 tahun itu mengajak peminat mengimbau kenangan menerusi lagu seperti Iller-Iller, Bergerak, All Around My World, Island Girl, Runnin’ dan Do It, Duit.
Tatkala adrenalin peminat semakin meningkat, Joe memilih untuk menyampaikan lagu-lagu hit ketika bersama Too Phat diiringi DJ T-Bone yang sinonim dengan karya-karya Too Phat, sekali gus mengimbau memori zaman kegemilangan mereka 25 tahun lalu.
Pastinya, peminat juga tidak melepaskan peluang untuk sama-sama menyanyikan medley lagu popular seperti Too Phat Baby, Just a Friend, Jezzabel, Anak Ayam, Ala Canggung, Just a Lil’ Bit, Snap, Dua Dunia dan Allhamdulillah.
Sesekali berbicara bersama peminat, Joe tidak ketinggalan untuk bercerita serba sedikit perjalanan kariernya menerusi klip video pendek bersama individu penting yang berada di sebalik kejayaannya hari ini.
Tidak keseorangan malam itu, Joe kemudiannya tampil membuat persembahan secara duet bersama rakan selebriti seperti Adeeb menerusi lagu Lu Lari, Azlan (Kuasa), Aku Tak Kenalmu (Zameera) dan Untukmu (Ila Damiaa).
Bagai mengerti apa dimahukan peminat yang hadir, anak kelahiran Subang Jaya itu tidak menunggu lama untuk menyampaikan lagu Sunyi dan Baek, sebelum membawakan sidekick lagu-lagu popular serta antara orang penting dalam karier solonya kini iaitu Sona One.
Bersama Sona One, mereka menyampaikan lagu Satu Malam di Temasek, Havoc, sebelum anggota kumpulan K-Clique, MK mengambil pentas menyampaikan lagu Ciao bersama Joe.
Tidak berakhir di situ, Joe dan Sona One menyampaikan lagu Sang Saka Biru bersama Alyph, yang turut menyanyikan lagu Sampai Jadi.
Pastinya, lagu yang menobatkan Joe dan Sona One sebagai Juara Anugerah Juara Lagu ke-29 iaitu Apa Khabar turut dipersembahkan kepada peminat, sebelum mereka berdua menutup pentas malam itu dengan sekali lagi menyampaikan lagu Satu Malam di Temasek.
Secara keseluruhannya, Joe berjaya memberikan satu kenangan manis buat peminat yang hadir dengan pemilihan seleksi lagu yang tepat baik untuk peminat lama mahupun yang baharu.
Konsert yang dibawa JioBuddy dengan kerjasama Altus ProHouse itu menyaksikan Joe diiringi 16 pemuzik dan tiga penyanyi latar, manakala Marques Young bertindak selaku pengarah muzik.
Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh yang juga rakan sekolah Joe turut hadir, selain beberapa rakan selebriti seperti Sherry AlHadad, Nabil, Hawa Rizwana, Sophia Liana, Luca Sickta, Ismail Izzani dan penyampai radio ERA, Radin.