KUALA KURAU - Kerajaan Perak mengingatkan semua pihak tidak berselindung atas nama program kemasyarakatan, keagamaan dan kebajikan untuk mendapatkan kebenaran kegunaan dewan orang ramai atau premis awam di negeri ini.
Exco Kemudahan Awam, Infrastruktur, Pertanian dan Perladangan, Abdul Yunus Jamhari berkata, semua pihak perlu bersikap matang dan tidak sesekali menyalahgunakan kebenaran diberikan atas tujuan penyebaran kebencian terhadap kerajaan.
Menurutnya, setakat ini, pihaknya hanya menerima satu laporan rasmi aduan penyalahgunaan premis dewan orang ramai untuk tujuan penyebaran unsur politik di Bagan Serai, namun tidak menolak kemungkinan aduan sama turut berlaku di tiga tempat lain.
"Mengikut pekeliling dikeluarkan Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) mnggu lalu, permohonan mana-mana parti politik untuk menggunakan dewan orang ramai mesti dirujuk terlebih dahulu kepada ADUN kerajaan dan Penyelaras DUN.
"Jadi keputusan muktamad adalah di tangan wakil kerajaan tersebut dan bukan Yang Dipertua pihak berkuasa tempatan atau pegawai daerah," katanya ketika dihubungi di sini semalam.
Abdul Yunus yang juga ADUN Kuala Kurau berkata, di sebalik dakwaan kerajaan PH tidak adil, rakyat perlu mengetahui kerajaan terdahulu langsung tidak membenarkan pihak pembangkang menggunakan dewan orang ramai walaupun bukan bertujuan politik.
Menurutnya, cuma perkara itu tidak dinyatakan secara bertulis berbanding kerajaan PH yang cuba mengetengahkan pendekatan lebih telus dalam memastikan hak awam digunakan lebih bertanggungjawab.
"Kita tidak membenarkan premis awam dijadikan tempat menyebarkan anasir kepartian dan fitnah terhadap kerajaan bagi mengelakkan tindakan itu memecahbelahkan masyarakat.
"Dalam hal ini, kesemua ahli Majlis Pengurusan Ketua Kampung (MPKK) dan Penyelaras DUN perlu memahami hasrat kerajaan membenarkan penggunaan dewan orang ramai tanpa mengira fahaman politik dan memastikan program bebas anasir kepartian," katanya.