KDEBWM ikut SOP kutipan sampah

Iklan
Ramli (tiga dari kanan) pada sidang akhbar selepas melakukan lawatan kerja ke Kampung Jawa Batu 18, Hulu Langat pada Isnin.

SHAH ALAM - KDEB Waste Management (KDEBWM) sentiasa mematuhi prosedur operasi standard (SOP) kutipan sampah di Kampung Jawa Batu 18, Hulu Langat.

Pengarah Urusannya, Datuk Ramli Mohd Tahir berkata, kutipan sisa pepejal yang dilaksanakan itu selari mengikut jadual kutipan iaitu tujuh kali seminggu bagi kutipan sisa domestik dan tiga kali seminggu kutipan sisa pukal.

Iklan
Iklan

"KDEBWM sentiasa memberikan perhatian dan pemantauan serius terhadap operasi kutipan sisa domestik dan sisa pukal bagi seluruh kawasan Hulu Langat termasuk menambah penggunaan aset bagi melancarkan operasi kutipan setiap hari," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Seorang pemilik akaun Twitter memuat naik video tentang kekecewaannya mengenai lambakan sampah di Batu 18 Hulu Langat kira-kira jam 3 pagi Ahad.

Iklan

Mengulas lanjut perkara itu, Ramli berkata, kutipan sisa pepejal telah pun dilaksanakan sub kontraktor di kawasan itu kira-kira jam 6 pagi pada hari sama.

"KDEBWM menegaskan SOP kutipan sisa bermula jam 6 pagi dan seterusnya sisa pepejal yang telah dikutip akan dibawa ke tapak pelupusan sisa di Tanjung 12, Sepang untuk dilupus," jelasnya.

Iklan

Beliau memberitahu, jumlah sisa pepejal bagi kawasan Hulu Langat adalah tinggi sekitar 50 hingga 55 tan metrik sehari.

Tambah beliau, jumlah sisa pepejal lebih tinggi pada setiap hujung minggu yang terhasil bukan sahaja daripada pengeluaran sisa di rumah kediaman, malah sisa terhasil dari pusat perkhemahan di sekitar kawasan terbabit.

Ramli berkata, sebanyak enam tong sampah jenis 'Leach Bin' 1,500 liter dan jenis MGB 660 liter telah pun disediakan di tapak Kebuk Sampah di kawasan tersebut bagi memudahkan urusan pembuangan sisa pepejal supaya lebih sistematik, teratur dan selamat.

"KDEBWM berterima kasih kepada semua pihak yang mengambil berat berhubung isu kutipan sampah di Selangor dan mengalu-alukan sekiranya terdapat sebarang aduan sisa pepejal.

"Orang ramai boleh menyalurkan aduan mereka melalui aplikasi i-Clean Selangor supaya sebarang aduan boleh diurus, direkod dan diselesaikan dengan segera dan pantas," ujarnya.

Sinar Harian pada Ahad melaporkan, kerajaan Selangor menolak dakwaan bahawa tidak mengambil serius isu sampah di Batu 18 Hulu Langat yang tular di Twitter pada Ahad.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, dakwaan seorang pengguna Twitter itu dibuat jam 3 pagi sedangkan sampah dikutip setiap hari antara jam 5 hingga 8 pagi