SEBERANG JAYA - Yayasan Kebajikan Nasional (YKN) bercadang untuk membuka Anjung Kasih di semua hospital kerajaan di seluruh negara selain menaik taraf tempat penginapan sedia ada yang terlalu kecil dan sempit.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWK), Datuk Seri Nancy Shukri berkata, cadangan itu hanya akan dapat direalisasikan bergantung kepada kemampuan YKN dan sumbangan penderma dalam menyediakan kemudahan tempat penginapan kepada pesakit kurang berkemampuan.
Menurutnya, pada masa kini terdapat 18 Anjung Kasih yang beroperasi sepenuhnya di negara ini.
"Semuanya bergantung kepada kemampuan kita dan kita juga bergantung kepada penderma.
"Memang kita berhasrat untuk membuka Anjung Kasih di setiap hospital namun lain tempat, lain keperluannya termasuk penggunaannya malah kita mahu perbesarkan tempat penginapan itu di Anjung Kasih yang sempit di beberapa tempat," katanya.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Anjung Kasih Hospital Seberang Jaya, di sini pada Isnin.
Hadir sama, Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa dan Pengasas dan Pengerusi Kumpulan Sunway, Tan Sri Dr Jeffrey Cheah.
Nancy yang juga Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah YKN berkata, sehingga kini Anjung kasih memberi manfaat kepada 89, 864 penghuni sejak mula beroperasi pada 2006 secara berperingkat.
Anjung Kasih YKN yang diuruskan oleh hospital kerajaan, merupakan tempat penginapan sementara secara percuma untuk golongan yang memerlukan, khususnya ahli keluarga yang kurang berkemampuan tetapi perlu mengiringi pesakit yang sedang mendapatkan rawatan di hospital.
Anjung Kasih Hospital Seberang Jaya memiliki keseluruhan 72 katil yang dibahagikan kepada enam bilik keluarga (12 katil) dan 12 bilik bujang (60 katil) serta kemudahan-kemudahan lain seperti bilik untuk Orang Kelainan Upaya (OKU), bilik rehat, bilik mandi, ruang pantri, ruang mencuci pakaian dan lain-lain yang dikira lengkap sebagai tempat penginapan ala hotel tiga bintang untuk waris-waris.
Sementara itu, Dr Zaliha berkata, KKM meluluskan peruntukan tambahan untuk hospital berkenaan sebanyak RM150,000 bagi kerja-kerja naik
taraf dan pembaikan serta pembelian peralatan perubatan dan bukan perubatan.