Polis selamatkan bayi pramatang

Iklan
Bayi terbabit ditemui dalam keadaan dihurung semut dengan ditutupi dengan kain dan tuala. - Gambar hiasan

TAIPING - Kehadiran seorang wanita berusia 22 tahun mendapatkan rawatan akibat pendarahan di Hospital Taiping pada Ahad membongkarkan kejadian buang bayi perempuan pramatang di Kamunting, dekat sini.

Ketua Polis Daerah Taiping, Asisten Komisioner Razlam Ab Hamid berkata, pihaknya menerima laporan daripada hospital mengesyaki wanita terbabit telah melahirkan seorang bayi dan membuangnya dengan niat mahu menyembunyikan kelahiran tersebut.

Iklan
Iklan

"Sejurus menerima laporan itu, pihak polis bergegas ke tempat kejadian dan berjaya menemukan seorang bayi perempuan yang diletakkan di belakang rumahnya.

"Bayi terbabit ditemui dalam keadaan dihurung semut dengan ditutupi dengan kain dan tuala," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Isnin.

Iklan

Menurut beliau, bayi tersebut dikejarkan ke Hospital Taiping dan kini ditempatkan di Unit Rawatan Rapi Neonatal (NICU).

"Bayi berkenaan dilaporkan dalam keadaan stabil manakala suspek masih menerima rawatan di hospital sama.

Iklan

"Siasatan dijalankan di bawah Seksyen 317 Kanun Keseksaan iaitu mendedahkan dan membuang kanak-kanak yang usia kurang daripada 12 tahun oleh ibu bapa atau penjaganya," katanya.

Difahamkan, wanita terbabit melahirkan bayi pramatang tersebut ketika kandungannya berusia tujuh bulan.