Rawatan percuma klinik swasta jimatkan masa

Iklan
Gambar hiasan - Foto 123RF

JUMLAH pesakit yang dikendalikan oleh klinik kesihatan kerajaan seluruh negara telah melebihi kapasiti sekali gus petugas perubatan awam terbeban dengan pelbagai tugas sehingga sukar memberikan rawatan terbaik.

Perkara itu turut mendapat respons Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa bahawa klinik kesihatan kerajaan hanya merangkumi 28 peratus dari keseluruhan fasiliti penjagaan kesihatan primer, manakala hampir 64 peratus mengendalikan lawatan pesakit luar.

Iklan
Iklan

Baru-baru ini, media tempatan melaporkan, terdapat peningkatan masalah kesihatan disebabkan cuaca panas sehingga menyumbang kepada pelbagai penyakit seperti demam, batuk dan influenza.

Susulan itu, hampir setiap hari klinik kesihatan kerajaan sesak dengan jumlah pesakit yang ramai sehingga ada yang terpaksa menunggu lama bagi mendapatkan rawatan terbaik dengan kos rendah.

Iklan

Berbeza pula jika berkunjung ke klinik swasta yang kurang jumlah pesakit, kerana kosnya tinggi dan juga harga ubat-ubatan semakin mahal.

Peningkatan perbelanjaan mendorong segelintir isi rumah merujuk kes kesihatan mereka di klinik kesihatan kerajaan walaupun terpaksa menunggu dalam tempoh yang lama.

Iklan

Berdasarkan pengalaman, kos rawatan dan ubat-ubatan di klinik swasta mampu menelan perbelanjaan antara RM60 sehingga ke RM200 untuk sesi konsultasi bersama doktor.

Jumlah tersebut adalah bersamaan dengan perbelanjaan selama seminggu oleh golongan isi rumah berpendapatan rendah atau sederhana.

Skim Perubatan Madani merupakan inisiatif kerajaan melalui Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dilihat mampu memberi kelegaan kepada golongan B40.

Program berkenaan diwujudkan bagi menampung keperluan kesihatan golongan B40 terhadap penjagaan kesihatan primer Akut (Rawatan Pesakit Luar Kes-kes Akut).

Penerima Sumbangan Tunai Rahmah (SJR) dalam kalangan B40 boleh mendapatkan rawatan di klinik perubatan swasta (GP) yang berdaftar di bawah skim tersebut.

Program itu telah bermula pada 15 Julai 2023 dan mereka yang ingin membuat semakan boleh melayari laman sesawang Perubatan Madani untuk memeriksa senarai klinik swasta berhampiran.

Menerusi skim tersebut jumlah kos yang ditanggung oleh kerajaan bagi isi rumah berkeluarga sebanyak RM250 dan warga emas tanpa pasangan 60 tahun ke atas berjumlah RM125 serta bujang berusia 19 hingga 59 tahun termasuk berstatus orang kurang upaya adalah RM75.

Belanjawan 2023 menunjukkan golongan yang kurang berkemampuan bukan sahaja dapat menikmati inisiatif kewangan, tetapi kesihatan secara menyeluruh.

Rawatan percuma yang disediakan menerusi skim itu memberi manfaat kepada rakyat selain mampu meningkatkan kualiti kesihatan setaraf dengan negara-negara maju.

Sekiranya masyarakat memperoleh perkhidmatan kesihatan bertaraf premium dengan percuma, ia mampu meningkatkan kesejahteraan masyarakat yang lebih mampan.

Pelan strategi itu mampu menjadi alternatif bagi pesakit mendapatkan bantuan kecemasan di klinik swasta dengan kadar segera dan dapat menjimatkan masa.

Klinik swasta dicadangkan agar menyertai skim tersebut supaya dapat sama-sama membantu masyarakat yang kurang berkemampuan menikmati perkhidmatan kesihatan berkualiti.

Inisiatif itu mampu mengukir senyuman lega dan meringankan beban kos rawatan yang semakin meningkat setiap tahun.

Bantuan dan skim yang disediakan oleh Kerajaan Perpaduan dilihat bukan sahaja memberi fokus kepada masalah kos sara hidup dan ekonomi, tetapi kebajikan sosial juga diberikan tumpuan bagi memberi manfaat kepada semua golongan.

Perkhidmatan kesihatan yang baik mampu menjadi penanda aras untuk negara terus mengorak langkah bagi memastikan kualiti hidup rakyatnya lebih baik dengan menyediakan pelbagai kemudahan perubatan.

Inovasi kesihatan di negara ini dilihat semakin maju dan rakyat yang kurang berkemampuan juga mampu mendapat rawatan terbaik sekali gus dapat meningkatkan kesejahteraan hidup individu.

Perkhidmatan dan kemudahan di fasiliti kesihatan kerajaan adalah terbaik dengan kos yang murah berbanding negara serantau, menyebabkan ramai berminat untuk mendapatkan rawatan di negara ini.

Justeru, rakyat Malaysia sangat beruntung apabila dapat menikmati segala rawatan terbaik termasuk kecekapan doktor dalam mengendalikan kes, kos ubat-ubatan yang murah dan percuma serta fasiliti lengkap untuk meningkatkan kualiti kesihatan.

* Farhana Abd Kadir ialah wartawan Sinar Harian