PRN: Afiq takkan masam muka jika bertembung Annuar

Iklan
AFIQ AMANI

KOTA BHARU - Anak Pengerusi Muafakat Nasional (MN), Afiq Amani Annuar tidak akan bermasam muka sekali pun ‘bertembung’ dengan bapanya bagi merebut kerusi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Kelantan bulan depan.

Anak lelaki Tan Sri Annuar Musa itu berkata, beliau sebaliknya akan mengadakan perbincangan dengan ahli keluarga terdekat terlebih dahulu sekiranya perkara itu benar-benar berlaku selepas senarai nama calon diumumkan nanti.

Iklan
Iklan

"Kalau berlaku perkara itu (pertembungan), saya akan fikirkan, kena bincang dengan keluarga, isteri dan anak-anak. Keputusan tak boleh dibuat berseorangan. Jadi, kita tunggu tiba masanya nanti,” katanya ketika ditemui pemberita selepas berucap pada Pentas Pemuda Perpaduan Kelantan di pekarangan Pejabat UMNO negeri di sini pada Isnin.

Turut hadir Naib Presiden Parti Amanah Negara (Amanah) yang juga Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari.

Iklan

Afiq Amani yang juga Ketua Pemuda UMNO Bahagian Ketereh mengakui, masih kurang pengalaman berbanding bapanya dan banyak yang perlu dipelajari jika mahu menjadi calon dalam pilihan raya.

"Seperti yang pernah saya katakan sebelum ini, kalau mahukan kemenangan, ramai lagi lebih layak, namun itu terpulang kepada kepimpinan untuk memutuskan calon terbaik buat Barisan Nasional (BN) supaya dapat memenangi kerusi sebanyak mungkin.

Iklan

"Dia (Annuar) bagaimanapun sangat matang. Kami banyak berbincang tentang persamaan berbanding melihat pada perbezaan,” ujar beliau.

Beliau berkata, permasalahan sebelum ini yang melibatkan Annuar yang juga bekas Setiausaha Agung BN itu berlaku di peringkat atasan dalam parti dan dia tidak terlibat di peringkat itu.

"Kami tidak ada masalah kerana mungkin yang sebenarnya berlaku ialah di pihak atasan, namun saya tahu, kami berdua mahu yang terbaik untuk negeri Kelantan, agama Islam, orang Melayu dan seluruh rakyat Malaysia secara amnya, itu persamaan.

"Tak adalah (masam muka), saya orang dewasa, dia menghormati keputusan saya dan kami tahu perjuangan masing-masing. Setakat ni Alhamdulillah, kami tak ada masalah, inilah haluan politik saya,” katanya.

Afiq Amani antara yang disebut-sebut dalam 155 nama yang dihantar BN kepada pucuk pimpinan parti untuk dipertimbangkan sebagai calon pada PRN Kelantan, 12 Ogos ini.

Sebelum itu, Annuar, 67, yang kini menyertai Pas memaklumkan beliau tidak kisah seandainya tidak bertanding sebagai calon dalam PRN kali ini, asalkan UMNO tidak menang.