KUANTAN - Tourism Pahang menyasarkan lebih 100 pengurus media sosial profesional dalam kalangan industri pelancongan sebagai usaha meningkatkan bilangan pengunjung ke negeri ini.
Exco Perpaduan, Pelancong dan Kebudayaan Negeri, Leong Yu Man berkata, pihak Tourism telah bekerjasama dengan Volt On Sdn Bhd bagi melaksanakan inisiatif mewujudkan sinergi antara peserta industri pelancongan Pahang untuk meluaskan promosi pelancongan negeri melalui platform media sosial.
Menurutnya, melalui kerjasama itu, Volt On menerusi cabang latihan korporatnya, Millennial Media Hub menyediakan strategi dan latihan menguruskan aset media sosial peserta industri secara profesional supaya promosi pelancongan Pahang dapat digerakkan secara strategik.
"Data kedatangan pelancong tahun lalu, pelancong domestik kekal menjadi penyumbang terbesar sebanyak 9,712,868 orang manakala data Tinjauan Pelancongan Domestik 2021 turut menunjukkan majoriti pelancong domestik ke Pahang ini adalah mereka berusia 25 hingga 39 tahun iaitu golongan aktif pengguna media sosial.
"Justeru, selari dengan sasaran Kerajaan Pahang untuk menarik 13 juta pelancong tahun ini dan wajarlah kita mulakan usaha memperkasakan promosi platform media sosial di kalangan peserta pelancongan di negeri ini.
"Usaha menggerakkan peserta industri pelancongan secara strategik ini juga mampu memastikan promosi produk pelancongan Pahang dapat diperluaskan kepada pengguna media sosial di luar negara,” katanya pada Selasa.
Beliau memberitahu, Tourism Pahang Millennial Media Training 2023 menawarkan empat sesi kursus latihan dengan setiap sesi selama tiga hari memfokuskan kumpulan industri Pelancongan Tanah Tinggi, Kembara dan Semulajadi, serta Pantai dan Pulau.
"Bertemakan Sinergi Media Sosial Perkasa Pelancongan Pahang, kursus HRDCorp Claimable Courses itu kini dibuka untuk pendaftaran kepada komuniti industri pelancongan daripada pelbagai latar belakang termasuk pengurusan hotel, perkhidmatan pelancongan dan restoran.
"Peserta akan didedahkan dengan strategi pemasaran pelancongan berlandaskan data bagi mewujudkan kerjasama melonjakkan penghasilan kandungan berimpak di media sosial untuk menarik lebih ramai pelancong domestik dan antarabangsa," katanya.
Sementara itu, Pengurus Besar Volt On, Che Wan Badrul Alias berkata, inisiatif itu dirancang bertujuan untuk mewujudkan gelombang kandungan media sosial yang mempromosikan Pahang sebagai destinasi pelancongan utama menjelang 2025.
Ujarnya, peserta kursus akan dilengkapi dengan pengurusan media sosial secara strategik, kemahiran membangunkan kandungan berimpak dan meneroka potensi menjana pendapatan baharu menerusi sosial commerce.
"Millennial Media Hub juga sinonim dengan keupayaan Cybertroopers Korporat kami yang berkepakaran dalam operasi cyber intelligences dan analisis metadata.
"Kelebihan ini kami kongsikan menerusi analisis data pelancongan untuk merangka strategi pemasaran peserta.
"Strategi melahirkan lebih 100 pengurus media sosial profesional ini bakal mewujudkan sinergi antara peserta industri untuk mempromosikan Pahang sebagai destinasi pelancongan secara menyeluruh dan bukan lagi hanya mempromosikan produk mereka sahaja,” katanya.