LUMUT - Seorang pengawal kelab hiburan atau bonzer dihadapkan ke Mahkamah Majistret Seri Manjung pada Selasa atas tuduhan membunuh isterinya, minggu lalu.
Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh, S Gabriel, 28, selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret T Kavita.
Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa dengan sengaja telah menyebabkan kematian E Komati, 33, antara jam 6.30 petang hingga 7 petang di Ladang Walbrook, Sitiawan di sini pada 10 Julai lalu.
Pertuduhan dilakukan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, R Rishan Kumar manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Mahkamah kemudiannya menetapkan 18 September depan bagi sebutan semula kes.
Sinar Harian melaporkan tertuduh bertindak membakar isterinya selepas berang dituduh mengambil dadah.
Mangsa bagaimanapun disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Seri Manjung.
Sementara itu di mahkamah berasingan, Gabriel mengaku salah bagi pertuduhan sengaja memasukkan dadah jenis methamphetamine dan amphetamine ke dalam badan di Balai Polis Pantai Remis sekitar jam 6.40 petang pada 12 Julai lalu.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman denda sehingga RM5,000 atau penjara dua tahun dan pengawasan polis tidak lebih tiga tahun, jika sabit kesalahan.
Majistret Nurul Izalina Rajaai memerintahkan tiada jaminan diberikan terhadap tertuduh dan menetapkan 25 Oktober depan untuk sebutan semula kes bagi laporan patologi di Mahkamah Majistret Pantai Remis.