SELAYANG - Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor menegaskan pendakwaan yang dilakukan bertujuan menjejaskan peluang dirinya pada Pilihan Raya Negeri (PRN) awal Ogos ini.
Penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Jeneri itu berkata, tujuan dia didakwa di Mahkamah Sesyen Selayang adalah untuk 'membunuh' karier politiknya menjelang PRN nanti.
Begitupun, beliau yang juga Pengarah Pilihan Raya Perikatan Nasional (PN) berkata, dia yakin pendakwaan dibuat itu boleh membuka mata rakyat untuk memahami tujuan dirinya diperlakukan sedemikian rupa.
"Saya juga diambil jam 3 pagi ini (Selasa) dengan tanpa sebarang notis, selain hanya mengetahui didakwa menerusi media (dalam talian).
"Namun saya sudah bersedia menghadapi kes ini," katanya dalam sidang akhbar di pekarangan Mahkamah Sesyen Selayang pada Selasa.
Mengulas lanjut mengenai penahanannya awal pagi ini, Sanusi berkata, dia telah memaklumkan kepada beberapa pihak (menangkapnya) bahawa dia akan hadir ke mahkamah pagi ini.
Bagaimanapun katanya, pihak terbabit tetap mahu membuat tangkapan jam 3 pagi itu di kediaman yang dihuninya.
Jelasnya, dia dimaklumkan bahawa tangkapan itu dibuat kerana ucapannya di tempat lain.
"Di Malaysia ini, kita sudah tidak boleh hendak cakap apa-apa. Sepatutnya isu di medan politik diselesaikan dengan politik juga iaitu menerusi hujah balas.
"Tetapi kerana kerajaan yang ada ini takut, mereka gunakan pihak berkuasa untuk sekat ucapan dan kemaraan kita sebagai rakyat," ujarnya.
Sehubungan itu menurutnya, pertuduhan yang dikenakan ke atasnya akan menjadi petunjuk dan petanda bahawa kerajaan sedia ada sebenarnya berada dalam ketakutan.
Dakwanya, semua agensi kerajaan akan digunakan untuk menyekat perkembangan dan kehangatan rakyat pada PRN nanti.
Dalam pada itu, Sanusi berkata, beliau dan pihak pendakwa tidak dibenarkan untuk membuat sebarang ulasan berhubung kes melibatkan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.
Jelasnya, mahkamah memerintahkan semua pihak untuk tidak membuat sebarang kenyataan terbuka.
"Saya telah mendapat berpuluh-puluh peguam untuk mewakili saya.
"Penyerahan dokumen atau sebutan semula kes ini akan dilakukan pada 4 Oktober nanti," ujarnya.
ARTIKEL BERKAITAN:MB Kedah ditahan
Muhammad Sanusi dibawa masuk menerusi laluan lokap mahkamah
Pertuduhan di mahkamah bunuh karier menjelang PRN - Sanusi
Bicara Sanusi secara adil, bebas cengkaman politik
Lujnah undang-undang urus kes Sanusi sebaik mungkin - Tuan Ibrahim
Laungan takbir bergema iringi Sanusi
Tindakan undang-undang ke atas Sanusi pengajaran buat semua - Pas