PENANG FC memandang serius kempen"Duduk dan Bantah' yang digagaskan oleh sekumpulan penyokong pasukan itu serta sebarang kecaman terbuka yang ditujukan kepada Pengarah Teknikal, Pengurus Pasukan Senior PFC dan barisan jurulatih pasukan.
Pengurus Besar Penang FC, Jeffrey Chew Gim Eam berkata, pihak pengurusan sentiasa peka dan prihatin luahan rasa kecewa dan kemarahan penyokong dengan prestasi semasa pasukan.
Tegasnya, pihak pengurusan sekali-kali tidak akan menggunakan isu bajet yang kecil dan sentiasa berusaha gigih secara konsisten untuk membiayai perbelanjaan pasukan senior, bawah 23 tahun, pasukan Piala Presiden dan Piala Belia tanpa gagal.
"Dalam hal ini, sebarang keputusan pengambilan pemain di awal musim dan semasa tempoh perpindahan kedua, bukan sahaja mengambil kira kedudukan kewangan semasa kelab yang ketat, bahkan sedaya upaya mengambil pemain masih ada kualiti berdasarkan realiti kemampuan kewangan yang ada.
"Dalam hal jadual perlawanan yang ketat dan dalam tempoh masa panjang, sebarang kemungkinan kecederaan dan hukuman gantung atas apa-apa kesalahan atas padang sentiasa dalam jangkaan," katanya menerusi kenyataan di sini, pada Selasa.
Beliau berkata, semua keputusan dalam tadbir urus pasukan dibuat secara kolektif dan bukan atas dorongan atau pengaruh individu tertentu, manakala keputusan penyenaraian pemain dan penggantian semuanya di bawah prerogatif barisan kejurulatihan yang setiap hari bersama-sama pemain dan mengenali tahap terbaik sebenar seseorang pemain sebelum sesuatu perlawanan untuk penyenaraian akhir.
Selain itu, beliau turut memberi peringatan kepada mana-mana halaman di media sosial agar lebih berhati-hati dalam menyasarkan mana-mana individu dalam kelab atas sebab keselamatan nyawanya atau ahli keluarganya, yang boleh terdedah kepada tindakan mana-mana individu yang terdorong untuk bertindak secara tidak bijaksana.
"Dalam hal ini, adalah di luar bidang kuasa pengurusan untuk mencampuri urusan pihak polis sekiranya mana-mana pentadbir halaman sosial media berkenaan dipertanggungjawab sepenuhnya atas kesalahan jenayah memprovokasi atau menghasut ekoran apa-apa tindakan tidak bijaksana yang membahayakan nyawa individu yang disasarkan," katanya.
Berhubung prestasi pasukan pula, Jeffrey Chew berkata, pihak pengurusan berharap penyokong akan terus bersabar dan bertenang untuk sembilan baki perlawanan dan saingan dalam Piala Malaysia kelak.
Katanya, pencapaian yang lebih baik ini bukan sahaja amat penting kepada para penyokong, bahkan ia menjadi faktor penting untuk mengekalkan kepercayaan dan keyakinan kerajaan negeri dan penaja penaja untuk terus memberi sokongan kewangan atau sebaliknya.