CelcomDigi jalin kerjasama dengan Huawei, ZTE

Iklan
erdiri dari kiri: Tengku Azmil, Fahmi, Mohamad Salim bersama Idham (kiri, duduk) dan Sun pada majlis perjanjian kerjasama CelcomDigi, Huawei dan ZTE yang diadakan di Kuala Lumpur, pada Isn

CELCOMDIGI Berhad (CelcomDigi) telah menjalin kerjasama dengan Huawei Technologies (Malaysia) Sdn Bhd (Huawei) dan ZTE (Malaysia) Corporation Sdn Bhd (ZTE) untuk pembelian perkhidmatan rangkaian, penyelesaian dan peralatan bagi projek integrasi dan modernisasi rangkaian di seluruh negara.

Ia merupakan salah satu projek pembangunan rangkaian telekomunikasi terbesar di negara susulan daripada penggabungan Celcom dan Digi pada Disember 2022 yang akan menyumbang ke arah membina ekosistem dan ekonomi digital negara.

Iklan
Iklan

Usaha itu akan melibatkan kerja penambahbaikan dan integrasi hampir 25,000 tapak Celcom dan Digi sedia ada di seluruh negara. Ia juga melibatkan seramai 800 jurutera terdiri daripada jurutera tempatan mahir serta pekerja berkemahiran dalam penyelidikan dan pembangunan dan lebih daripada 250 pasukan kontraktor khusus dalam kerja pemasangan di seluruh negara.

CelcomDigi dalam satu kenyataan berkata, di bawah perjanjian tersebut, CelcomDigi akan memodenisasikan Rangkaian Akses Radio (RAN) di seluruh negara dengan teknologi terkini yang terdiri daripada perkhidmatan kejuruteraan dan pengoptimuman hujung ke hujung daripada Huawei dan ZTE.

Iklan

"Ini akan menawarkan throughput lebih tinggi serta memberi liputan rangkaian lebih luas, bagi menyediakankan pengalaman pengguna lebih baik, boleh dipercayai, stabil dengan konsistensi yang lebih tinggi.

"Penyelesaian teknologi ini akan memanfaatkan spektrum sedia ada CelcomDigi, menggunakan Tri-band Radio Units, Dualband Radio Units serta Baseband Radio Units yang terkini. Ini akan disokong dengan teknologi terkini yang membolehkan jejak tapak dan penggunaan kuasa yang lebih rendah serta kos efisien.

Iklan

"Huawei dan ZTE juga akan menguruskan projek network densification serta kerja menaik taraf tapak dengan teknologi Dual Band Massive MIMO 32T32R yang boleh meningkatkan kapasiti rangkaian,” jelas kenyataan itu.

Menurut kenyataan itu, CelcomDigi juga akan menggunakan Intelligent Network Monitoring bagi memastikan operasi dan penyelenggaraan rangkaian yang efisien. Peralatan ini akan meningkatkan kualiti perkhidmatan analisis CelcomDigi dan tindak balas dinamik yang kukuh dalam mengurus makluman rangkaian.

Pada Isnin, perjanjian itu telah dimeterai oleh Ketua Pegawai Eksekutif CelcomDigi, Datuk Idham Nawawi dengan Ketua Pegawai Eksekutif Huawei Malaysia, Simon Sun, dan Naib Presiden Kanan ZTE Corporation, Mei ZhongHua.

Ia disaksikan oleh Menteri Komunikasi dan Digital, Ahmad Fahmi Fadzil, Pengerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), Tan Sri Mohamad Salim Fateh Din serta Pengerusi Lembaga Pengarah CelcomDigi, Tengku Datuk Sri Azmil Zahruddin.

Idham berkata, dengan gabungan kepakaran dan sumber yang diperlukan, rangkaian yang telah dimodenkan akan memperkukuhkan lagi keupayaan CelcomDigi untuk memenuhi keperluan pelanggan dengan lebih baik, kekal berdaya saing dan memenuhi permintaan data landskap digital yang makin berkembang.

"Rangkaian kami yang moden dan bersepadu akan menjadi ciri penting dalam usaha CelcomDigi untuk menjadi pemacu digital negara yang menyokong kewujudan bersama dan evolusi 4G/LTE serta teknologi masa hadapan, termasuk 5G.

"Rangkaian baharu ini direka supaya dapat beralih ke rangkaian 5G dengan 18,000 tapak iaitu satu infrastruktur yang diperlukan untuk Malaysia menuju ke era kelajuan ultra tinggi, latensi rendah serta pelbagai peluang untuk masa depan yang lebih terhubung.

"Ini merupakan pencapaian yang penting buat CelcomDigi serta industri, dan kami berasa teruja untuk menjadi peneraju industri dengan kerjasama strategik Huawei dan ZTE – untuk merealisasikan potensi masa depan digital kami,” tambah Idham.

CelcomDigi akan menyepadu dan memodenkan rangkaian mengikut kluster, dengan aktiviti yang tertumpu kepada usaha memperluaskan liputan dan kapasiti, menaik taraf tapak dengan teknologi 4G dan sedia-5G terkini, serta memperkemas tapak bertindih daripada sebarang duplikasi.

CelcomDigi akan memaksimumkan portfolio spektrumnya untuk membina rangkaian berbilang lapisan serta jalur, yang merangkumi penggunaan spektrum 900MHz di seluruh negara di kesemua 18,000 tapak untuk meningkatkan liputan dan kualiti perkhidmatan dalam bangunan.

Rangkaian baharu itu akan memberi pelanggan kualiti pengalaman yang ditambahbaik serta peningkatan capaian daripada 96 peratus kepada 98 peratus kawasan di seluruh negara.