JOHOR BAHRU - Seorang juruteknik mendakwa mengalami kerugian SDG$6,590 atau kira-kira RM23,861 selepas menjadi mangsa penipuan sindiket along yang menyamar sebagai perunding kewangan.
Mangsa yang hanya mahu dikenali sebagai Raymond, 34, berkata, semuanya bermula apabila menemukan akaun perkhidmatan perunding kewangan itu dalam Facebook di Singapura pada 5 Julai lalu.
"Saya mula mengisi butiran peribadi dalam satu pautan yang dikongsikan laman sosial berkenaan, sebelum dihubungi seorang individu yang memberitahu mereka sebenarnya peminjam wang tidak berlesen.
"Disebabkan itu, saya membatalkan hasrat membuat pinjaman tersebut, namun individu berkenaan tetap memaksa saya buat pinjaman, jadi saya buat jumlah paling rendah iaitu SDG$450," katanya.
Dia berkata demikian dalam sidang akhbar di Pusat Khidmat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Stulang, Andrew Chen Kah Eng di Jalan Maju, Taman Maju Jaya di sini pada Selasa.
Menurut Raymond, selepas menerima wang itu, individu terbabit memintanya membuat bayaran SDG$800 untuk menyelesaikan perkara itu sebelum diugut dan terpaksa melakukan membayar berjumlah SDG$5,700.
"Namun selepas pembayaran dibuat, individu itu masih meminta saya bayar lagi SDG$15,000, kerana saya tidak melayan tuntutan itu,
mereka membaling cat di rumah rakan saya di Sri Stulang pada Jumaat lalu dan rumah saya di Permas Jaya, semalam," ujarnya.
Disebabkan dia terus diganggu, Raymond membuat dua laporan polis di Balai Polis Toa Payoh di Singapura pada 13 Julai lalu, empat laporan polis di Balai Polis Seri Alam, Balai Polis Permas Jaya dan Balai Polis Taman Pelangi, Johor kerana bimbang dengan keselamatan diri.
Sementara itu, Kah Eng pula memberitahu, pihaknya berharap sindiket along tersebut akan menghentikan tindakan mengugut mangsa kerana enam laporan polis telah dibuat.