Mufti nasihat ahli politik berhemah sepanjang berkempen

Iklan
Wan Salim

GEORGETOWN - Semua parti politik yang bertanding dalam pilihan raya negeri (PRN) pada Ogos dinasihatkan supaya berhemah dan menggunakan pendekatan sederhana dalam tempoh berkempen nanti.

Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Dr Wan Salim Wan Mohd Noor berkata, semua pihak disarankan agar berkempen secara sopan dan memelihara adab serta akhlak bagi mengelak kejadian yang tidak diingini berlaku.

Iklan
Iklan

"Sempena dengan musim PRN enam negeri yang semakin hampir, saya suka mengajak semua ahli politik supaya menggunakan pendekatan sederhana dan berhemah dalam menjalankan kempen untuk menarik sokongan para pengundi terhadap parti masing-masing.

"Berkempenlah secara sopan dengan memelihara adab dan akhlak yang baik, jangan mencerca, memaki hamun dan memfitnah terhadap mana-mana individu, hanya kerana perbezaan pegangan politik," katanya ketika dihubungi pada Selasa.

Iklan

Beliau turut menasihatkan ahli politik yang beragama Islam agar tidak terlalu ekstrem dan taksub ketika mengadakan kempen pilihan raya.

"Nabi Muhammad SAW ketika ada sahabat meminta Baginda mendoakan kehancuran ke atas kaum musyrikin kerana tidak tahan lagi dengan penindasan yang dihadapi, Baginda menyahut 'bahawa aku tidak diutus sebagai seorang pelaknat, tetapi (sebaliknya) adalah sebagai pembawa rahmat'.

Iklan

"Oleh itu, tidak wajar seorang Muslim mendoakan keburukan ke atas saudaranya semata-mata kerana perbezaan fahaman politik. Doa sedemikian hanya harus ditujukan terhadap golongan yang menzalimi umat Islam sekadar kezaliman yang dilakukan sahaja, namun jika bersabar itu adalah lebih baik dan mendapat ganjaran pahala yang besar di sisi ALLAH SWT," ujarnya.

Tambah Wan Salim, umat Islam sepatutnya mendoakan kebaikan dunia dan akhirat untuk saudara seagama dan untuk kesejahteraan hidup seluruh manusia.

"Hubungan antara umat Islam seperti yang disebut dalam sebuah hadis adalah ibarat jasad yang satu, setiap anggotanya ikut merasai apa yang dialami oleh yang lain.

"Perbezaan fahaman politik adalah perkara biasa, tidak sepatutnya memecahbelahkan barisan umat Islam sebagai saudara seakidah. Perbezaan ini adalah tabii, sama dengan perbezaan bentuk badan, warna kulit dan rupa paras yang mesti diterima seadanya sebagai ketetapan daripada Sang Pencipta.

"Oleh itu, berpolitiklah secara matang sebagai masyarakat bertamadun dan mendukung sistem demokrasi," katanya.

Sebelum ini, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) telah menetapkan PRN di enam negeri diadakan serentak pada 12 Ogos ini sebagai hari pengundian manakala 29 Julai sebagai hari penamaan calon manakala hari pengundian awal pada 8 Ogos ini.

Selain Pulau Pinang, lima negeri yang akan mengadakan PRN adalah Selangor, Negeri Sembilan, Kedah, Kelantan dan Terengganu.