KOTA KINABALU - Lima penjawat awam di Jabatan Perancangan Bandar dan Wilayah Sabah mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan membuat tuntutan palsu perpindahan melibatkan beberapa daerah di Sabah berjumlah RM61,530 antara 2017 hingga 2020.
Rozidah Samudin, 52, didakwa mengemukakan dokumen penyata tuntutan dan elaun semasa menjalankan tugas rasmi bertarikh 23 Mei 2017 dengan membuat bil melalui Syarikat Pengangkutan Putra bernilai RM17,100 pada 2 Okt 2017.
Dia didakwa memperdayakan prinsipal dan mempunyai kepentingan serta sebab untuk mempercayai dokumen itu mengandungi butiran matan palsu bagi pembayaran penghantaran kenderaan dari Kota Kinabalu ke Sandakan tetapi perkhidmatan tersebut tidak pernah dilakukan.
Rozidah, yang diwakili peguam Mohd Luqman Syazwan Zabidi, turut didakwa membuat bil tuntutan pembayaran penghantaran kenderaan ke rumah di Taman Lok Kawi Perdana Taman Pantai Lok Kawi dan penghantaran barangan ke alamat sama bersama empat pekerja am berjumlah RM17,000 pada 5 Sept 2019.
Tiga individu lain iaitu Myron Masing, 40, Alif Abdul Fatah, 35, dan Mohd Effendi Awang Damit, 31, turut berdepan pertuduhan memperdayakan prinsipal serta mempunyai kepentingan dan mempunyai sebab untuk mempercayai dokumen itu mengandungi matan palsu iaitu resit Syarikat Pengangkutan Putra bertarikh 5 Mac 2020, 12 Jun 2019 dan 7 Mac 2020.
Myron didakwa mengemukakan bil pembayaran penghantaran barangan rumah dan motosikal ke perumahan kerajaan Tawau berjumlah RM6,250 manakala Alif mengemukakan pembayaran penghantaran barangan rumah ke Taman Permata Apartment Sandakan bersama tiga pekerja yang berjumlah RM8,480 dan Mohd Effendi bagi pembayaran pengangkutan perpindahan barang dari Kota Kinabalu ke Tawau berjumlah RM6,250.
Ady Said, 38, pula berdepan enam pertuduhan yang didakwa dilakukan antara 2 Okt 2017 dan September 2020 iaitu bersubahat dengan Rozidah dan Myron untuk mengemukakan tuntutan serupa bagi penghantaran kenderaan dari Kota Kinabalu ke Sandakan dan Tawau melalui syarikat pengangkutan yang sama.
Dia juga didakwa bersubahat membantu Alif dan Mohd Effendi bagi pembayaran penghantaran barang ke rumah di Taman Permata Sandakan dan tiga pekerja lain serta pembayaran pengangkutan perpindahan barang dari Kota Kinabalu ke Tawau tetapi perkhidmatan itu tidak pernah dilakukan.
Tertuduh turut didakwa mengemukakan dokumen penyata tuntutan dan elaun semasa menjalankan tugas rasmi bertarikh 15 Mac 2020 dengan membuat bil melalui Syarikat Pengangkutan Putra bernilai RM6,450 ke Sandakan.
Pendakwaan dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa SPRM Sabah Rekhraj Singh dan Dzulkarnain Rousan Hasbi manakala Alif diwakili peguam Yannik Mohd Anuar dan Lim Chun Yuan manakala Myron, Ady dan Mohd Effendi tidak mempunyai peguam.
Hakim Jason Juga menetapkan 15 Ogos depan sebagai sebutan semula kes bagi kelima-lima tertuduh manakala jaminan ditetapkan antara RM10,000 hingga RM15,000 dengan seorang penjamin bagi setiap tertuduh dan mereka diarah melaporkan diri ke pejabat SPRM dua bulan sekali dan tidak mengganggu saksi pendakwaan. - Bernama