MERAK Jalanan teruja dengan pertemuan secara maya antara Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama Elon Musk.
Yang menariknya, selain bincang pasal kereta Tesla, pertemuan itu bincang juga mengenai perkhidmatan komunikasi satelit SpaceX.
Kehadiran Starlink oleh SpaceX di negara ini akan bawa manfaat besar kepada industri, di samping memajukan lagi internet dalam negara kita.
Merak Jalanan optimis jika Malaysia boleh guna sistem Starlink SpaceX, internet kita akan lebih laju serta meluas. Tidak timbul lagi masalah internet di kawasan kampung atau di kawasan luar Lembah Klang.
Singapura dan Filipina sudah ada rangkaian Starlink, sedangkan kita belum ada lagi. Jadi, perbincangan dengan Elon Musk akan bawa teknologi ini ke Malaysia.
Ia satu perkara baik yang Merak Jalanan puji kerana rakyat jelata dapat merasai kesan positif atas usaha pihak kerajaan.
Sabtu lalu, Perdana Menteri umum nak pasang 40 peranti satelit Starlink di institusi pengajian tinggi (IPT) untuk bantu naik taraf capaian internet. Merak Jalanan yakin usaha itu akan diperluaskan lagi.
Perkhidmatan tersebut bukan calang-calang sebab sistem Starlink sudah digunakan di lebih 56 negara. Malaysia dijangka jadi negara seterusnya.
Tapi Merak Jalanan harap pada masa hadapan, akan ada pelaburan lebih besar bersama Elon Musk dan kalau boleh sampai boleh buka kilang buat kereta Tesla seperti di Indonesia.
Tahniah Merak Jalanan ucapkan kepada Perdana Menteri dan kerajaan atas kejayaan ini walaupun ada perlekeh kata meeting online sahaja. Kita dah nampak pun hasil meeting online tersebut.
Merak Jalanan harap kerajaan jangan berhenti mencari lebih banyak pelaburan besar seperti itu kerana ia pastinya akan mendorong ekonomi negara kita menjadi lebih baik.