Undi kali kedua pilih PM Thailand hari ini

Iklan
Pita Limjaroenrat, ketua Parti Move Forward memberi reaksi ketika di Parlimen. - Foto Reuters

BANGKOK - Pusingan kedua pengundian untuk calon Perdana Menteri Thailand ke-30 akan berlangsung pada Rabu di sidang Parlimen negara itu.

Pada Selasa, calon Pita Limjaroenrat mendapat sokongan daripada gabungan lapan parti untuk dicalonkan semula pada pusingan kedua pengundian.

Iklan
Iklan

Bagaimanapun, ini boleh menjadi percubaan terakhirnya untuk memenangi jawatan tertinggi di Thailand itu menggantikan Prayut Chan-o-cha.

Ini kerana Pita sebelum ini mengumumkan beliau akan memberi laluan kepada parti kedua terbesar dalam gabungan, Pheu Thai Party, jika gagal memperoleh sokongan yang diperlukan buat kali kedua pada Rabu.

Iklan

Pada Selasa, gabungan lapan parti diketuai Parti Move Forward (MFP) dipimpin Pita, mengesahkan sokongannya kepada beliau walaupun gagal mendapat sokongan lebih separuh daripada 749 anggota Parlimen dalam percubaan pertamanya Khamis lalu.

Walaupun menjadi calon Perdana Menteri tunggal, Pita hanya memperoleh 324 undi, manakala 182 undi menentangnya dan 199 berkecuali.

Iklan

Bagaimanapun, gabungan itu masih memerlukan 63 undi kerana 249 senator yang dilantik oleh junta mungkin menjadi batu penghalang dalam usaha Pita untuk menjadi Perdana Menteri.

Pheu Thai memenangi 141 kerusi dalam pilihan raya itu dengan calon Perdana Menterinya termasuk Paetongtarn Shinawatra, anak perempuan bekas Perdana Menteri Thaksin Shinawatra dan taikun hartanah, Srettha Thavisin.

Seperti sebelum ini, dewan akan mula mengundi pada jam 4 petang waktu tempatan dengan sidang dipengerusikan Speaker Wan Muhamad Noor Matha.

Ia juga akan dihadiri 676 daripada 749 ahli termasuk 216 senator.

Pada Selasa, Prayut mengumumkan pengunduran beliau daripada politik termasuk meletak jawatan sebagai anggota Parti United Thai Nation.

Bagaimanapun, bekas jeneral tentera itu akan kekal sebagai Perdana Menteri sehingga pembentukan kerajaan baharu. - Awani