GELOMBANG haba yang melanda hemisfera utara dijangka terus meningkat sekali gus membawa kepada peningkatan risiko serangan jantung dan kematian.
Amaran dikeluarkan Pertubuhan Meteorologi Sedunia (WMO) pada Selasa.
WMO memberi amaran bahawa gelombang haba itu berada dalam fasa awalnya, berkata, ia menjangkakan suhu di Amerika Utara, Asia, Afrika Utara dan Mediterranean melebihi 40 Celsius untuk beberapa minggu.
Tambah WMO, rekod baharu gelombang haba mungkin berlaku dalam beberapa hari akan datang.
Paras tertinggi Eropah sebelum ini ialah 48.8 darjah Celsius yang dicapai di Sicily pada Ogos 2021 dan rekod global ialah 56.7 Celsius dari Death Valley di California, Amerika Syarikat (AS) pada Julai 1913.
Sementara itu Persekutuan Palang Merah Antarabangsa berkata bayi, orang tua dan orang yang mempunyai keadaan kesihatan kronik lebih terdedah kepada risiko.
Lebih 60,000 orang Eropah telah mati dalam gelombang panas tahun lalu, menurut pakar, walaupun mempunyai beberapa sistem amaran awal terbaik dunia. - Awani
China catat rekod suhu 52.2 darjah Celsius
BEIJING - Sebuah bandar terpencil di barat laut China mengalami suhu lebih 52 darjah Celsius pada Ahad, rekod tertinggi di negara itu.
China, bergelut dengan cuaca bawah 50 darjah Celsius hanya enam bulan lalu.
Agensi Berita Xinjiang Daily melaporkan, suhu di bandar Sanbao di Xinjiang melonjak sehingga 52.2 darjah Celsius pada Ahad dan ia dijangka berterusan sekurang-kurangnya lima hari lagi.
Suhu pada Ahad memecahkan rekod sebelumnya, 50.3 darjah Celsius, yang dicatat pada 2015 di daerah Ayding dalam lembangan beting pasir dan tasik kering pada ketinggian lebih 150 meter di bawah paras laut.
Sejak April, negara-negara di seluruh Asia dilanda beberapa pusingan gelombang panas yang memecah rekod, mencetuskan kebimbangan mengenai keupayaan mereka menyesuaikan diri dengan iklim yang berubah dengan pantas.
Suhu tinggi yang berpanjangan di China turut mencabar grid kuasa dan tanaman sehingga menimbulkan kebimbangan terhadap kemungkinan berulangnya kemarau pada 2022 yang paling teruk dalam tempoh 60 tahun.
China tidak asing dengan perubahan suhu yang dramatik merentasi musim, tetapi perubahan itu kini semakin meluas dan ketara.
Pada 22 Januari, suhu di Mohe, sebuah bandar di timur laut wilayah Heilongjiang, naik sehingga 53 darjah Celsius, sekali gus memecahkan rekod paras tertinggi sepanjang masa China sebelum ini iaitu 52.3 darjah Celsius yang dicatat pada 1969.
Sejak itu, hujan paling lebat dalam sedekad melanda tengah China, memusnahkan ladang gandum di kawasan yang dikenali sebagai jelapang negara itu. - Awani