Maal Hijrah: Tingkat azam pupuk visi, misi hidup lebih baik

Iklan
Majlis Sambutan Maal Hijrah Peringkat Kebangsaan Tahun 1445H bertemakan “Perpaduan Teras Malaysia Madani” berlangsung di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) pagi ini. - Foto Bernama

KUALA LUMPUR - Beberapa lagi menteri kabinet hari ini merakamkan ucapan sambutan Maal Hijrah di laman media sosial masing-masing yang antara lain berharap umat Islam berazam menjadi manusia yang lebih baik serta memiliki visi dan misi hidup baharu.

Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil berharap umat Islam berazam menjadi manusia yang lebih baik sempena Tahun Baharu 1445 Hijrah.

Iklan
Iklan

"Salam Maal Hijrah, 1 Muharram 1445H. Semoga tahun baharu ini kita semua meningkatkan keazaman untuk menjadi manusia yang lebih baik dari segi ilmu, amalan dan akhlak,” katanya.

Dengan nada sama, Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek mahukan umat Islam berazam untuk menjadi manusia yang lebih berakhlak tinggi dan berbudi pekerti.

Iklan

"Islam menggalakkan kita menjadi insan yang berjaya, berilmu dan berharta. Kelebihan yang ada mesti digunakan untuk memberikan manfaat dan kebaikan kepada diri, keluarga, masyarakat dan negara. Dengan semangat Maal Hijrah, marilah kita semua berazam untuk menjadi manusia yang lebih baik yang tinggi akhlak dan budi pekerti,” katanya.

Sementara itu Menteri Pendidikan, Tinggi Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin mengajak orang ramai supaya meningkatkan keimanan serta melakukan perubahan positif dalam kehidupan.

Iklan

Turut senada Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu yang mengajak umat Islam beriltizam untuk melakukan perubahan ke arah yang lebih baik.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said pula berharap umat Islam memiliki visi baharu, misi baharu, hidup baharu dan penghijrahan baharu yang akan lebih baik daripada penghijrahan sebelumnya.

Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli berharap Tahun Baharu 1445 Hijrah mendorong orang ramai supaya sentiasa berusaha untuk berhijrah ke arah kebaikan dengan penuh keimanan dan ketakwaan kepada Yang Maha Esa.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri mengingatkan umat Islam supaya mengambil iktibar dan pengajaran daripada peristiwa penghijrahan baginda Rasulullah SAW serta para sahabat baginda dan meneladani perpaduan antara kaum Muhajirin dan Ansar yang menjadi tunjang kepada kekuatan ummah.

Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang pula berkata, sempena Tahun Baharu 1445 Hijrah, orang ramai perlu berusaha untuk sentiasa berhijrah bagi mencipta kejayaan dan inovasi baru yang memberi impak rahmat kepada Malaysia Madani.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Seri Salahuddin Ayub dan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Seri Tiong King Sing berharap Tahun Baharu 1445 Hijrah mendatangkan keberkatan, kebahagiaan dan kejayaan buat semua umat Islam.

Antara yang turut merakamkan ucapan sambutan Maal Hijrah ialah Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamad Hasan; Menteri Luar, Datuk Seri Zambry Abd Kadir; Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming; Menteri Pengangkutan, Anthony Loke; Menteri Sumber Manusia, V Sivakumar; Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah, Sarawak dan Tugas-Tugas Khas), Datuk Armizan Mohd Ali. - Bernama

ARTIKEL BERKAITAN:Maal Hijrah: Sultan Kedah titah jangan bangkit isu gugat perpaduan

Maal Hijrah: Jauhi hasad dengki, amalan fitnah - Agong

Bekas Ketua Pengarah IKIM Tokoh Maal Hijrah Kebangsaan

Maal Hijrah: Tingkat azam pupuk visi, misi hidup lebih baik

Doa Sultan Nazrin, hijrah bersengketa kepada berdamai

Umat Islam perlu kuasai disiplin ilmu, teroka kejayaan