PENYANYI Ariana Grande dilaporkan sudah bercerai dengan suaminya, Dalton Gomez dan kini membawa haluan hidup masing-masing.
Kelibat Ariana yang muncul di Wimbledon, London pada Ahad lalu tanpa memakai cincin perkahwinan turut mencuri perhatian ramai dan menguatkan spekulasi yang bertebaran tentang rumah tangganya bersama Dalton.
Penyanyi lagu 7 Rings dan Next itu juga telah memadam foto perkahwinan dengan Dalton di laman Instagram miliknya.
Daily Mail melaporkan Ariana dan Dalton yang juga merupakan ejen hartanah sebenarnya sudah berpisah sejak Januari lalu.
Bagaimanapun bintang berusia 30 tahun itu dikatakan masih mengekalkan hubungan baik dengan bekas suami.
"Tidak ada orang ketiga, tidak ada kebencian di antara mereka. Perkahwinan itu hanya tidak berhasil,” kata kenalan pasangan itu dalam laporan Daily Mail.
Dalton juga sebelum ini dikatakan pernah melawat Ariana di set penggambaran filem Wicked di London pada Januari lalu sebagai usaha menyelamatkan rumah tangga mereka, namun tidak berjaya.
Pasangan ini mengikat tali pertunangan secara rahsia pada Mei 2021 dan berkahwin pada tahun sama.