Dua kapal pindah pindah minyak tanpa kebenaran ditahan

Iklan
Dua buah kapal ditahan kerana melakukan pemindahan minyak secara haram - Foto: Maritim Malaysia

PORT DICKSON - Dua kapal yang sedang melakukan aktiviti pemindahan minyak (STS) tanpa kebenaran di perairan Pulau Perjudi dekat sini ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Melaka dan Negeri Sembilan dalam Op Murni/Op Tiris pada Selasa.

Pengarah Maritim Negeri Melaka dan Negeri Sembilan, Kapten Maritim Iskandar Ishak berkata, kapal berkenaan ditahan pada jam 3 petang di kedudukan 1 batu nautika tenggara Pulau Perjudi selepas dilihat melakukan aktiviti STS yang mencurigakan.

Iklan
Iklan

"Kapal kargo sepanjang 31 meter yang berdaftar di Port Dickson itu dikendalikan empat kru lelaki termasuk nakhoda yang kesemuanya warga tempatan," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Kedua-dua kapal terbabit ditahan di kedudukan 1 batu nautika tenggara Pulau Perjudi selepas dilihat melakukan aktiviti STS yang mencurigakan. -Foto: Maritim Malaysia

Menurutnya, kapal tangki itu pula didaftarkan di Zanzibar, Tanzania dan dikendalikan lima kru lelaki termasuk nakhoda yang kesemuanya warga Indonesia.

Iklan

Ujarnya, kedua-dua kapal berkenaan telah ditahan untuk disiasat di bawah Seksyen 491B(1)(K) Ordinan Perkapalan Saudagar (OPS) 1952 kerana menjalankan aktiviti STS tanpa kebenaran.

"Sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM100 ribu atau penjara tidak melebihi dua tahun atau keduanya bagi Seksyen 491B(1)(K) OPS 1952.

Iklan

"Maritim Malaysia sentiasa peka dan serius melaksanakan pemantauan operasi dan penguatkuasaan agar komuniti di laut sentiasa patuh kepada undang-undang yang digariskan oleh pihak berwajib,"katanya.

Tambahnya, sebarang maklumat salah laku dan kecemasan di laut boleh laporkan ke Pusat Operasi Maritim Melaka dan Negeri Sembilan di talian 06-3876730 dan MERS 999 yang beroperasi secara 24 jam.