SHAH ALAM - Persatuan Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA) mengumumkan pelantikan Bendahari Kehormat MATTA, Nigel Wong sebagai Presiden baharu untuk dua penggal (2023-2025).
MATTA dalam satu kenyataan memberitahu, pelantikan itu dibuat berdasarkan Mesyuarat Agung Tahunan ke-48 bagi menggantikan Datuk Tan Kok Liang yang berkhidmat selama tiga penggal penuh iaitu bermula pada tahun 2017 hingga 2023.
Menurut kenyataan itu lagi, majlis eksekutif yang baharu dipilih bagi sesi berkenaan akan mempergiatkan penglibatan dengan pelbagai pihak berkepentingan utama dan pihak berkuasa di peringkat nasional serta negeri untuk meningkatkan taraf penyampaian perkhidmatan pelancongan di Malaysia.
Pada masa sama, Wong memaklumkan objektif MATTA tidak berubah dan sentiasa berusaha untuk meningkatkan prospek perniagaan, memupuk inovasi dan menyokong keadaan yang memberi manfaat kepada syarikat serta industri pelancongan secara keseluruhan.
"Kami akan terus membina dan mengembangkan asas-asas ini dan membangunkan inisiatif serta program baharu yang memberi tumpuan kepada pertumbuhan sektor pelancongan.
"Bukan itu sahaja, ia juga dilakukan untuk memastikan ahli kami kekal berdaya saing dalam landskap pelancongan yang tidak menentu dan sentiasa berubah-ubah,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.
Dalam pada itu, Wong memberitahu, beliau berbesar hati dipilih sebagai presiden dan sedar terhadap cabaran yang perlu dihadapi dalam industri pelancongan.
Sementara itu, Kok Liang berharap agar pimpinan penggal baharu itu dapat menyelesaikan isu penting yang melibatkan sektor berkenaan masih belum dapat diselesaikan dengan baik.
Katanya, banyak isu telah lama wujud dan tertanam lama dalam birokrasi kerajaan kerana Presiden MATTA dan Menteri Pelancongan bersilih ganti.