Unit khas pantau 3R bukan sekat kebebasan - Fahmi

Iklan
Fahmi

KUALA LUMPUR - Kerajaan kini sedang berusaha mengelakkan isu 3R (raja, agama dan kaum) dijadikan penyebab yang boleh mencetuskan perpecahan antara kaum dan penganut agama seperti dimainkan sebilangan pemimpin politik.

Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil berkata, cadangan menubuhkan unit khas untuk meneliti kes berkaitan isu tersebut terutama sepanjang tempoh kempen pilihan raya negeri (PRN) di enam negeri kelak bukan bertujuan menyekat kebebasan mana-mana pihak.

Iklan
Iklan

"Apa yang ingin dielakkan adalah bibit-bibit perpecahan. Saya sudah berbincang dengan Ketua Polis Negara, Timbalan Ketua Polis Negara, Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD), Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) serta penyedia platform seperti TikTok (menerusi) pertemuan semalam (Selasa).

"Ada keperluan mewujudkan satu unit yang terselaras antara Bukit Aman, SKMM, KKD dan penyedia platform media sosial untuk kita pastikan sepanjang tempoh PRN dan Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Terengganu, tiada mana-mana pihak ambil kesempatan meraih sokongan politik berkait isu 3R," katanya ketika ditemui pemberita selepas Majlis Sambutan Maal Hijrah Peringkat Kebangsaan di Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur pada Rabu.

Iklan

Sebelum ini media melaporkan, SKMM dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan mengkaji keperluan menubuhkan unit khas bagi meneliti kes-kes berkaitan 3R susulan data Pusat Kewartawanan Bebas (CIJ) berhubung Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), selain melihat isu berkenaan semakin membimbangkan.

Dalam pada itu beliau menjelaskan, kerajaan terutama pihak berkuasa tidak akan berkompromi dan akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang memainkan isu berkenaan khususnya di media sosial.

Iklan

"Ada kebebasan bersuara tetapi kita tidak boleh bermain, beradu domba dengan isu berkaitan 3R. Kita ada undang-undang sedia ada untuk menjaga keamanan, (malah) pihak berkuasa sedia ambil tindakan wajar," ujarnya.

Sementara itu mengulas mengenai isu perbandingan penahanan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 1998, Fahmi berkata, situasi itu berbeza sekali gus tidak wajar dibandingkan.

Beliau menegaskan, kes penahanan Muhammad Sanusi mungkin berkait kes yang berlaku pada 2021 membabitkan seorang warga emas yang ditahan awal pagi kerana didakwa mengaibkan bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jeneri itu menerusi satu video jelik laman sosial Facebook.

"Bagi saya, itu perbandingan lebih tepat. Kita ambil ibrah dan pengajaran dengan apa yang berlaku. Jangan sesekali menghina institusi raja-raja. Jangan kita sesekali melagakan rakyat dan raja. Ini adalah batas yang tidak boleh kita lepasi," katanya.