KUALA LUMPUR - Rakan dagang utama, Malaysia dan Vietnam, wajar bekerjasama rapat untuk menarik lebih banyak pelaburan di rantau ASEAN, kata Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz.
Dalam temu bual dengan wartawan Agensi Berita Vietnam (VNA) di Kuala Lumpur menjelang lawatan rasmi Perdana Menteri, Anwar Ibrahim ke Vietnam dari 20 hingga 21 Julai, Tengku Zafrul berkata, beliau akan mengiringi Perdana Menteri untuk mempromosi hubungan perdagangan dan pelaburan antara kedua-dua negara.
Beliau menekankan bahawa Vietnam adalah rakan dagang keempat terbesar Malaysia dalam kalangan anggota ASEAN dan Vietnam dan Malaysia merupakan rakan dagang ASEAN yang penting.
Malaysia adalah pelabur langsung asing ketiga terbesar Vietnam di rantau itu dan masih ada peluang untuk kedua-dua negara meningkatkan kerjasama dalam perdagangan dan pelaburan, khususnya eksport dan import barangan pertanian dan akuatik.
Tengku Zafrul berkata, selain pertanian, beliau mencadangkan kedua-dua negara bekerjasama dalam ekonomi hijau dan digital memandangkan kedua-dua negara membuat pelaburan yang besar dalam sektor berkenaan dan bersedia untuk memasuki pasaran di luar ASEAN.
Menurut Tengku Zafrul, kedua-dua negara perlu bekerjasama untuk menjual barangan halal ke pasaran di luar ASEAN.
Beliau juga berpendapat bahawa wujud potensi besar untuk perniagaan Vietnam dan Malaysia bekerjasama seperti dalam bidang kosmetik dan penjagaan kesihatan, dengan memberi keutamaan kepada bidang makanan dan pertanian.
Menurut Tengku Zafrul, wakil Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade) dan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) juga turut serta dalam lawatan itu.
Mereka dijadual mengadakan sesi kerja dengan perniagaan Vietnam yang menyasarkan eksport ke Malaysia.
Beliau berkata, kementerian itu akan menganjurkan Pameran Tahunan Halal Antarabangsa Malaysia pada September, dengan penyertaan daripada beberapa perusahaan domestik dan antarabangsa, serta berharap syarikat Vietnam akan melihat Malaysia sebagai pusat eksport produk halal di seluruh dunia. - Bernama