Titah Agong peringatan untuk pemimpin, rakyat jauhi fitnah

Iklan
Fahmi Fadzil ketika ditemui media selepas Majlis Sambutan Maal Hijrah Peringkat Kebangsaan Tahun 1445H/ 2023 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) pada Rabu. - Foto Bernama

KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Semua lapisan masyarakat termasuk pemimpin, ahli politik dan rakyat perlu menjunjung titah dan peringatan Yang Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah supaya menjauhi perasaan hasad dengki, amalan fitnah-memfitnah dan pemikiran sempit.

Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil berkata, titah Seri Paduka merupakan peringatan jelas kepada semua pihak agar menghentikan amalan tidak sihat itu sehingga ada yang sanggup menyentuh isu sensitif iaitu perkara 3R (raja, agama dan bangsa).

Iklan
Iklan

"Kita semua sebagai rakyat perlu mengutamakan perpaduan dan memperkukuhkan persaudaraan dalam apa jua keadaan selain bersatu untuk menjadi negara yang lebih baik.

"Seperti seruan kerajaan selama ini, kita perlu elakkan amalan menfitnah dan menyentuh perkara 3R serta patuh pada undang-undang,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Sambutan Maal Hijrah Peringkat Kebangsaan Tahun 1445H/ 2023 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) di sini pada Rabu.

Iklan

Katanya, mengambil iktibar dan menghayati peristiwa Hijrah, masyarakat perlu mengamalkan budaya yang lebih baik dan meninggalkan amalan negatif.

Terdahulu, Al-Sultan Abdullah semasa bertitah di majlis berkenaan mengingatkan rakyat supaya menjauhi perasaan hasad dengki dan amalan fitnah-memfitnah.

Iklan

Seri Paduka turut meminta rakyat supaya bersatu hati dalam membentuk sebuah masyarakat yang harmoni selain menjelmakan semangat serta roh peristiwa Hijrah dalam bentuk kesatuan dan perpaduan tanpa mengira latar belakang agama, bangsa, serta adat resam.

Sementara itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar berkata, nasihat oleh Yang di-Pertuan Agong itu bukan sahaja perlu diambil perhatian oleh ahli politik, malah perlu difahami ahli pendakwah agama.

"Apabila Seri Paduka menyentuh soal masyarakat yang lembut dalam berbicara dan halus dalam berpesan... bermakna Tuanku (Al-Sultan Abdullah) memerhati apa yang berlaku dalam masyarakat.

"Kadang-kadang kita sedih ada segelintir pendakwah agama memaki hamun dan menggunakan kata-kata kurang manis dalam berdakwah...ini soal adab dan akhlak yang digariskan Islam,” katanya.

Justeru itu katanya, dalam usaha membina masyarakat Madani, elemen adab dan akhlak yang baik perlu diamalkan untuk menjadikan Malaysia sebagai negara ‘baldatun toyyibah warabbun ghafur’ (negara yang aman dan makmur)

Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul yang turut senada dengan Mohd Na’im berkata, titah Al-Sultan Abdullah dalam isu itu perlu dihormati dan diamalkan lebih-lebih bagi individu di pentas politik yang sering bertikam lidah hingga mengeluarkan ungkapan yang negatif.

Katanya, setiap kata-kata yang negatif digunakan ahli politik akan menimbulkan perasaan tidak selesa dalam khalayak umum dan boleh mencetuskan suasana tidak baik dalam masyarakat.

Turut berangkat ke majlis itu Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.

Majlis turut dihadiri Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan isteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Fadillah Yusof serta kira-kira 6,000 tetamu.

Pada majlis berkenaan, bekas Ketua Pengarah Institut Kefahaman Islam Malaysia, Datuk Dr Abdul Monir Yaacob dinobatkan sebagai Tokoh Maal Hijrah Kebangsaan manakala Mufti Besar India, Al-Allamah Sheikh Abubakr Ahmad pula dinobatkan sebagai Tokoh Maal Hijrah Antarabangsa.

ARTIKEL BERKAITAN:Maal Hijrah: Sultan Kedah titah jangan bangkit isu gugat perpaduan

Maal Hijrah: Jauhi hasad dengki, amalan fitnah - Agong

Bekas Ketua Pengarah IKIM Tokoh Maal Hijrah Kebangsaan

Maal Hijrah: Tingkat azam pupuk visi, misi hidup lebih baik

Doa Sultan Nazrin, hijrah bersengketa kepada berdamai

Umat Islam perlu kuasai disiplin ilmu, teroka kejayaan