ROMPIN - Bagaikan tiada kesudahan isu pencemaran udara di beberapa kampung di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Ibam, yang didakwa berlarutan sejak tiga tahun lalu dipercayai akibat kegiatan peleburan logam dari kilang memproses bateri di kawasan terbabit.
Rata-rata penduduk di kampung Bukit Ibam, Kampung Buluh Nipis dan Kampung Aur mendakwa ada menghidu bau busuk yang menusuk hidung dan tekak, dikatakan berpunca daripada proses tersebut.
Wakil penduduk Kampung Bukit Ibam, Sabarudin Yusof, 49, berkata, proses peleburan logam itu dipercayai dilakukan pada waktu malam sejak tiga tahun lalu sehingga menjejaskan kesihatan penduduk sekitar.
Menurutnya, kilang terbabit pernah disita oleh Jabatan Alam Sekitar (JAS) pada Mei lalu, namun didakwa kembali beroperasi sejak dua bulan lalu.
"Kalau boleh, benda ini (isu) perlu diambil tindakan segera oleh agensi terlibat dan (pengusaha kilang) jangan fikir untung sahaja, tetapi kesihatan awam juga lebih penting," katanya ketika ditemui pemberita di hadapan pintu masuk sebuah kilang memproses bateri di Bukit Ibam dekat sini pada Rabu.
Seramai 80 penduduk daripada tiga kampung terbabit telah membuat himpunan aman bagi membantah pencemaran udara daripada sebuah kilang bateri di Bukit Ibam.
Hadir sama dalam himpunan itu, Ahli Parlimen Rompin, Datuk Abdul Khalib Abdullah dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Ibam, Nazri Ahmad.
Dalam pada itu, Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Kemajuan Kampung Orang Asli (JPKKOA) Buluh Nipis, Manan Ahoi, 43, mendakwa pencemaran udara disebabkan operasi kilang terbabit boleh menjejaskan kesihatan berikutan asap yang dilepaskan disyaki mengandungi bahan kimia berbahaya.
Dia mendakwa asap yang dilepaskan itu mengandungi bahan seperti plumbum yang boleh memberi risiko kerosakan terhadap jantung, otak dan sistem saraf.
Selain itu, dakwanya lagi, ia boleh membawa maut akibat terdedah kepada pencemaran logam berat tersebut.
"Baunya amat perit, seperti wayar atau plastik terbakar. Bau itu boleh membuatkan tekak kita (rasa) tidak selesa dan (beri kesan kepada kesihatan) seperti batuk dan selesema.
"Jadi, saya sebagai wakil penduduk khuatir akan keselamatan dan kesihatan ahli keluarga serta penduduk kampung yang terlibat dengan isu ini (pencemaran)" katanya.
Sehubungan itu, Manan berharap agar pengusaha kilang dapat melaksanakan sistem pengoperasian yang selamat untuk semua penduduk di kawasan ini.
"Kami tidak tahu kilang ini dapat kelulusan atau tidak, tapi kalau hendak beroperasi mereka perlu (laksanakan) sistem secara teratur dan selamat. Bagi, kami lebih elok kalau dapat pindah lebih jauh dari sini, itu lebih baik," luahnya lagi.
Wakil penduduk Kampung Aur, Roslan Abbas, 60, pula meminta agar kerajaan Pahang melalui agensi terlibat dapat menyiasat dakwaan yang dibuat penduduk di sekitar DUN Bukit Ibam ini.
"Kita bukan mahu kilang ini ditutup, sebaliknya mahu kerajaan pantau perkara ini demi kebaikan semua penduduk," jelasnya ringkas.
Sementara itu, Nazri berkata, himpunan aman ini diadakan bagi memprotes pencemaran yang dikeluarkan oleh sebuah kilang memproses logam daripada bateri di sini.
Beliau turut mempersoalkan pengoperasian kerana kilang terbabit sudah disita oleh JAS pada Mei lalu.
"Saya difahamkan tindakan sita telah dibuat, namun (kilang ini) beroperasi semula. Jadi penduduk hari ini (Rabu) mengadakan bantahan bagi membuka mata semua pihak berhubung isu pencemaran udara ini yang sangat merimaskan mereka.
"Saya juga berharap tindakan tegas dapat diambil bagi memastikan keselamatan penduduk di sekitar Bukit Ibam dan kampung Aur terpelihara," katanya yang sudah membawa isu terbabit ke dalam Mesyuarat Jawatankuasa Pembangunan Daerah Rompin baru-baru ini.
Abdul Khalib ketika ditemui dalam himpunan aman itu memberitahu isu terbabit akan dibawa ini ke pengetahuan Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Tuan Nik Nazmi Nik Ahmad untuk penyelesaian.
Bagaimanapun usaha Abdul Khalib dan Nazri untuk mendapatkan penjelasan lanjut daripada pihak kilang terbabit gagal.