Hamzah persoal alasan polis tahan Sanusi jam 3 pagi

Iklan
Hamzah Zainuddin

SHAH ALAM - Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainuddin mempersoalkan tindakan polis menahan Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor pada jam 3 pagi, atas alasan ahli politik kontroversi itu dan pegawainya tidak menjawab panggilan telefon sejak petang Isnin.

Hamzah berkata, alasan Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain sangat pelik dan aneh kerana pengawal peribadi kepada Menteri Besar Kedah itu adalah seorang anggota polis.

Iklan
Iklan

Menurut beliau, polis boleh saja menghubungi pengawal peribadi Sanusi yang juga anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) pada bila-bila masa.

"Saya berasa amat pelik sekali kerana beliau sebagai Menteri besar mempunyai seorang pengawal peribadi yang juga datang daripada PDRM. Tidakkah sesuatu yang aneh apabila polis sendiri mengatakan mereka tidak dapat menghubungi Sanusi?

Iklan

"Ini adalah jawapan yang tidak masuk akal sama sekali kerana polis mempunyai seorang anggota yang diletakkan di sebelah Menteri Besar untuk menjadi pengawal peribadi dan menjaga keselamatan beliau. Boleh tanya terus kepada pengawal peribadi di mana Sanusi," katanya dalam satu video yang dimuat naik di Facebook pada Selasa.

Pada Selasa, Razarudin dalam satu sidang media menjelaskan penahanan Sanusi dibuat pada jam 3 pagi selepas beliau tidak menjawab panggilan telefon daripada polis sejak petang kelmarin untuk urusan pemakluman mengenai pertuduhan ke atasnya semalam.

Iklan

Selain gagal dihubungi, Sanusi juga gagal dikesan Polis Kedah, selepas Bukit Aman meminta bantuan kontinjen itu merakamkan percakapan bagi siasatan kes Akta Hasutan yang dijalankan Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman.

Menurut Razarudin, pegawai penyiasat turut menghubungi Setiausaha Sulit dan Setiausaha Politik kepada Sanusi untuk proses pemakluman, namun turut tidak berjawab.

Sanusi ditahan pada jam 3 pagi di sebuah hotel di Mont Kiara, Dutamas, di sini, pagi semalam oleh sepasukan polis dari USJT dan Bahagian Gengsterism (D7) Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman.

Hamzah yang juga Ahli Parlimen Larut mendakwa, wujud 'tangan ghaib' yang mahukan Sanusi ditangkap pada awal pagi bertujuan memalukan Ketua Pengarah Pilihan Raya Perikatan Nasional (PN) itu.

"Ini kerana, tindakan pihak polis menahan Sanusi pada jam 3 pagi adalah sangat tidak wajar kerana Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jeneri itu sudah memberi kerjasama dan bersetuju untuk ke mahkamah.

"Saya rasa ada tangan ghaib yang mengarahkan supaya Sanusi ditangkap juga pada malam semalam kerana mereka nak memalukan seorang pemimpin besar dalam kalangan PN," katanya.

Beliau berpendapat, salah guna kuasa adalah sesuatu yang tidak boleh dibenarkan sama sekali oleh pemimpin tertinggi negara.

"Janganlah sekali lagi perkara ini berlaku.

"Saya tidak menuduh, tapi oleh kerana perkara ini boleh berlaku dan pernah berlaku, dan tak mustahil ia boleh berlaku sekali lagi," katanya.

ARTIKEL BERKAITAN:MB Kedah ditahan

Muhammad Sanusi dibawa masuk menerusi laluan lokap mahkamah

Pertuduhan di mahkamah bunuh karier menjelang PRN - Sanusi

Bicara Sanusi secara adil, bebas cengkaman politik

Lujnah undang-undang urus kes Sanusi sebaik mungkin - Tuan Ibrahim

Laungan takbir bergema iringi Sanusi

Tindakan undang-undang ke atas Sanusi pengajaran buat semua - Pas

'Saya faham, tidak mengaku salah Yang Arif' - Sanusi

Polis rekod keterangan Guan Eng, Abdul Hadi isu 3R

Polis ambil keterangan Dr Mahathir

Kertas siasatan kes Tun M dirujuk ke Pejabat Peguam Negara

Sanusi hilang status MB, kerusi ADUN jika bersalah