MENJADI kebiasaan setiap wanita untuk mengenakan gincu bibir sebelum ke mana-mana walaupun, hanya olesan tipis sahaja.
Namun, di dalam bulan Ramadan ini, bolehkah kita memakai gincu ketika sedang berpuasa pada waktu siangnya?
Menjawab persoalan itu, hukum penggunaan gincu bibir pada siang hari Ramadan adalah tidak membatalkan puasa selagi mana kita tidak menelan masuk ke dalam rongga.
Hanya sekadar 'rasa' pada bibir, maka, ia tidak membatalkan puasa kita.
Namun, sekiranya ia ditelan (memasuki rongga), rasa yang terdapat pada gincu itu, maka, batal puasa kita.
Ia berdasarkan fatwa Ibn 'Abbas RA mengenai merasa makanan:"Tidak mengapa untuk merasa cuka atau yang lainnya selagi ia tidak memasuki tekaknya dan dia sedang berpuasa." (Riwayat Ibn Abi Syaibah di dalam Musannafnya (9277))
Di dalam kitab Sabil al-Muhtadin oleh Syeikh Muhammad Arsyad al-Banjari menyebut:"Tiada batal puasa sebab merasai makanan dengan lidah dan jika sampai rasa makanan itu kepada rukungan (kerongkong) sekalipun daripada kerana rasa makanan itu athar' jua bukan 'ain."
Apabila seseorang merasa makanan, sudah pasti ia akan memberikan kesan rasa kepada yang merasanya iaitu lidah.
Selagi mana seseorang itu tidak menelannya, maka, tidaklah batal puasanya.
Begitu juga keadaannya dengan gincu bibir iaitu sekadar terdapat rasa sahaja, ia belum membatalkan puasa melainkan kita menelannya yang menyebabkan batalnya puasa kita.
Apapun, memakai gincu untuk memperlihatkan kepada orang lain dalam keadaan berlebihan (tabarruj) adalah amat tidak digalakkan di dalam Islam.
Bagaimanapun, untuk suami, ia dibenarkan sebagai berhias diri.
(Sumber: Irsyad al-Fatwa Khas Ramadhan #75: Hukum Penggunaan Lipstick Ketika Berpuasa, Laman Web Rasmi Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan)