Nenek jaga empat cucu yatim piatu

Iklan
Steven Tiw (kiri) menyerahkan 'walking frame' kepada Noraini bagi membantu proses pemulihan selepas terbabit dalam kemalangan yang turut mengorbankan anak dan menantunya, minggu lalu.

BATU GAJAH - Seorang wanita warga emas kini menggalas tanggungjawab menjaga empat cucunya yang menjadi yatim piatu sekelip mata selepas ibu bapa mereka maut dalam nahas di Kilometer 3.4 Jalan Gopeng-Kota Bharu, minggu lalu.

Kejadian sekitar jam 5.20 petang itu pada 10 Julai lalu telah mengorbankan Mohd Ramddan Abd Rahim, 44, dan isteri Kisdalliana Saad, 43, apabila kereta dinaiki terbabas selepas menghantar anak sulung mendaftar di Kolej Matrikulasi Perak, Gopeng.

Iklan
Iklan

Menurut Noraini Ahmad, 63, dia mahu cucunya, Nur Fatin Syafikah Mohd Ramddan, 18; Mohd Ikman Hafifi, 17; Mohd Aiman Daniel dan Nur Fatihah Najihah, 7, dapat membesar dengan baik di depan matanya.

"Mungkin ada hikmah di sebaliknya, kita tidak tahu perancangan ALLAH dan saya bersyukur apabila ramai yang sudi menghulurkan bantuan," katanya ketika ditemui pemberita selepas menerima bantuan kerusi roda dan 'walking frame' daripada Pusat Khidmat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tronoh di Kampung Serkai Jadi di sini pada Rabu.

Iklan

Noraini kini berada dalam fasa pemulihan selepas mengalami patah tulang leher dalam kejadian itu.

Pada masa sama, Mohd Ikman Hafifi mengakui amat merindui ibu bapanya dan gambar status WhatsApp menjadi pengubat rindu dia dan adiknya.

Iklan

"Kadang-kadang bila teringat emak, tengok gambar ini. Gambar ini ambil masa emak dan ayah hantar kakak pergi matrikulasi itu.

"Masa kejadian emak ada pesan jaga adik (Mohd Aiman Daniel). Saya ingat pesan itu sampai bila-bila," katanya.

Sementara itu, ADUN Tronoh, Steven Tiw Tiee Siang berkata, bantuan awal segera diberikan bagi meringankan beban keluarga mangsa.

"Kami menjadikan empat beradik ini sebagai anak angkat Pusat Khidmat ADUN Tronoh dengan inisiatif RM800 sebulan selama setahun bagi meringankan beban mereka.

"Difahamkan adik bongsu mereka masih lagi menerima rawatan di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB), Ipoh," katanya.

Menurut beliau, Pertubuhan Amal Sahabat Perak turut menghulurkan sumbangan sebanyak RM500 selain bantuan segera RM300 daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).