Lawatan Anwar ke Vietnam tingkat keyakinan politik - Duta Vietnam

Iklan
ANWAR

KUALA LUMPUR - Lawatan rasmi Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Vietnam dari 20-21 Julai akan menyumbang kepada peningkatan terhadap keyakinan politik antara kedua-dua negara, menurut Duta Vietnam ke Malaysia Dinh Ngoc Linh.

Lawatan itu akan membantu usaha untuk memperkukuh pertumbuhan dalam hubungan dua hala dalam semua bidang, selain menyediakan rangka kerja baharu untuk pembangunan seterusnya, Linh memberitahu Agensi Berita Vietnam (VNA).

Iklan
Iklan

Beliau berkata, ia juga akan mewujudkan dorongan baharu bagi pelaksanaan Program Tindakan untuk melaksanakan Perkongsian Strategik Vietnam-Malaysia bagi tempoh 2021-2025.

Peningkatan kerjasama dua hala dalam beberapa bidang, termasuk politik, keselamatan dan pertahanan, ekonomi, budaya, pelancongan, pekerjaan dan interaksi rakyat dengan rakyat, bergantung kepada pelan tindakan itu.

Iklan

Selain itu, beliau berpendapat lawatan berkenaan memberi peluang kepada usahawan dari kedua-dua negara untuk mengenal pasti pelaburan dan kerjasama, sambil meningkatkan kerjasama dua hala bagi menangani kebimbangan semasa global, termasuk keterjaminan tenaga dan makanan, perubahan iklim dan transformasi digital.

Pemimpin kedua-dua negara akan bertukar-tukar pandangan mengenai isu serantau dan antarabangsa yang merupakan kepentingan bersama, termasuk promosi kerjasama marin dan pembangunan ekonomi berasaskan laut serta penyelarasan di forum serantau dan antarabangsa, terutama dalam rangka kerja ASEAN, sekali gus menyumbang kepada pengukuhan perpaduan antara negara serantau dan mempromosi pemusatan ASEAN.

Iklan

Menurut Linh, Vietnam dan Malaysia adalah rakan semula jadi, berdasarkan persamaan kedudukan geostrategik serta kepentingan yang selari di rantau ini dan dunia.

Walaupun berlaku perubahan yang kompleks di rantau ini dan di seluruh dunia, duta itu yakin hubungan dua hala pada masa depan akan terus berkembang dan berkesan dalam semua bidang, terutama politik dan ekonomi.

Duta itu menekankan bahawa masih terdapat banyak ruang untuk mengembangkan kerjasama ekonomi, sambil menyuarakan keyakinan matlamat meningkatkan perdagangan dua hala kepada US$18 bilion menjelang 2025, boleh dicapai.

Perdagangan dua hala antara kedua-dua negara meningkat sebanyak 17.4 peratus tahun ke tahun kepada US$14.68 bilion pada 2022. - Bernama.