JOHOR BAHRU - Faktor ketenangan seorang penjaga gol bagi mengharungi penentuan sepakan penalti dilihat sebagai antara faktor besar yang mampu mendorong kepada kejayaan pasukan.
Menurut bekas penjaga gol skuad kebangsaan dan juga Johor, Hassan Miskam, 55, faktor berkenaan (ketenangan), kebiasaannya akan menjadi penentu terhadap aksi cemerlang yang dipamerkan oleh mana-mana penjaga gol ketika berdepan situasi getir (penentuan sepakan penalti) tersebut.
"Bagi saya, apabila keputusan perlawanan terpaksa ditentukan menerusi penentuan sepakan penalti, faktor ketenangan yang dimiliki penjaga gol akan jadi taruhan.
"Ketika itu, penjaga gol perlu bertenang, tak boleh kelam kabut dan elemen ketenangan ini saya lihat ada pada penjaga gol JDT (Johor Darul Ta’zim), Ahmad Syihan (Hazmi Mohamed).
"Tapi, dalam masa sama, saya juga melihat pasukan lawan (Kuala Lumpur City FC), juga ada kelebihan kalau sampai penalti...mereka pun ada penjaga gol yang baik,” katanya kepada Sinar Harian pada Rabu.
Hassan berkata demikian bagi mengulas mengenai aksi final Piala FA 2023 antara skuad Johor Darul Ta’zim (JDT) dan Kuala Lumpur City FC (KL City FC), yang dijadualkan berlangsung di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, Sabtu ini.
Selaku juara bertahan, JDT hampir pasti menurunkan penjaga gol skuad kebangsaan, Ahmad Syihan selaku benteng terakhir skuad Harimau Selatan itu selain penjaga gol berpengalaman, Farizal Marlias dan Haziq Nadzli bersedia di bangku simpanan.
Dalam masa sama, pelawat juga pastinya mempertaruhkan trio Kevin Ray Mendoza Hansen selain Muhammad Azim Al Amin Kamaruddin, dan Muhammad Azri Abdul bersedia di bangku simpanan.
Sementara itu ketika diminta mengulas mengenai ramalannya terhadap aksi final berkenaan, Hassan berkata, dia meramalkan skuad Harimau Selatan itu menang 3-0 bagi mengekalkan trofi yang dimenangi musim lalu.
Katanya, berdasarkan kepada prestasi semasa memang skuad kendalian Esteban Solari itu dicabar oleh mana-mana pasukan.
"Bagi kawan memang on paper memang JDT championlah... lagi pun, berdasarkan prestasi sekarang 'home game' tak pernah kalah, 'away game' pun tak pernah kalah. Rasanya 90 peratuslah JDT boleh champion. 10 peratus tu untuk Kuala Lumpur (KL City FC).
"Lagi pun ketika ini level JDT ni dah lain... dah di peringkat Asia. Walaupun bukan yang terbaik tapi memang boleh challengelah sebelum ni, semua pasukan lebih kurang sama level sahaja,” katanya.