Selfie terakhir suami isteri rupanya petanda ajal

Iklan
Mohd Ramddan Abd Rahim dan Kisdalliana Saad maut dalam kemalangan di KM3.5 Jalan Gopeng-Kota Bharu.

BATU GAJAH - Swafoto terakhir suami isteri, Mohd Ramddan Abd Rahim dan Kisdalliana Saad sebelum maut dalam kemalangan di KM3.5 Jalan Gopeng-Kota Bharu, 10 Julai lepas, kini menjadi kenangan buat ibu serta empat anak pasangan itu.

Noraini Ahmad, 63, yang merupakan ibu Mohd Ramddan berkata, Allahyarham tidak gemar berswafoto sebelum ini, namun sempat berswafoto bersamanya, Kisdalliana serta anak bongsu, Nur Fatin Najihah, 7, sejak dari rumah dan sepanjang perjalanan mereka menaiki kereta Proton Perdana ke Gopeng.

Iklan
Iklan

"Ketika kami singgah makan di Batu Gajah, dia (Mohd Ramddan) juga mahu berswafoto. Itu rupanya tanda dia dan isteri (Kisdalliana) akan pergi (meninggal dunia),” katanya yang ditemui di rumahnya di Kampung Serkai Jadi, Tronoh pada Rabu.

Kemalangan kira-kira 5.20 petang itu menyebabkan Mohd Ramddan, 44, dan Kisdalliana, 43, yang merupakan penumpang belakang meninggal dunia di tempat kejadian manakala Noraini yang memandu kereta Proton Perdana berkenaan dan Nur Fatin Najihah mengalami cedera parah.

ARTIKEL BERKAITAN: Suami isteri maut selepas hantar anak daftar kolej

Iklan

Menurut Noraini kejadian berlaku semasa mereka sekeluarga dalam perjalanan menghantar barang yang dibeli untuk seorang anak pasangan itu, Nur Fatin Syafikah, 18, yang baru mendaftar di Kolej Matrikulasi Perak, Gopeng.

Katanya, kereta itu terbabas melanggar pagar sebuah premis ketika dia mahu mengelak anjing yang melintas sebelum pitam dan sejurus sedar, dia mendapati dirinya sudah berada di hospital.

Sementara itu, anak kedua pasangan suami isteri itu, Muhammad Ikman Hafifi, 17, berkata, dia berhasrat untuk turut serta ke Gopeng tetapi dihalang Kisdalliana kerana mahu dia menjaga adiknya Muhammad Aiman Daniel, 13.

Iklan

"Tidak lama selepas itu, saya menerima berita kemalangan itu daripada ibu saudara tetapi ingatkan hanya kemalangan biasa sehinggalah kakak (Nur Fatin Syafikah) menelefon memaklumkan ibu dan ayah sudah meninggal,” katanya.

Terdahulu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tronoh Steven Tiw Tee Siang yang mengunjungi Noraini berkata keempat-empat anak pasangan suami isteri itu akan menjadi anak angkatnya selama setahun dan setiap seorang diberikan bantuan kewangan RM200 sebulan.

Katanya Jabatan Kebajikan Masyarakat turut memberi bantuan RM300 kepada mereka selain sumbangan awal RM500 daripada Pengerusi Pertubuhan Amal Sahabat Perak Ekmal Hidhir.

"Hari ini, Pusat Khidmat ADUN Tronoh turut memberi sumbangan sebuah kerusi roda dan ‘walking frame’ kepada Noraini kerana mengalami kesukaran untuk berjalan,” kata Tiw. - Bernama.