PKKM desak kerajaan negeri bina semula surau

Iklan
Nik Saiful Adli (tiga dari kiri) melihat surau yang dirobohkan dua hari lalu.

KOTA BHARU - Persatuan Komuniti Kedai Melor (PKKM) menggesa kerajaan Kelantan membina semula surau di kawasan Kedai Melor yang dirobohkan dua hari lalu berikutan pengambilan tanah untuk pembesaran jalan.

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak PKKM, Nik Saiful Adli Burhan berkata, tindakan menggantikan surau yang dirobohkan itu wajar berikutan ramai peniaga yang menggunakan kemudahan berkenaan.

Iklan
Iklan

Beliau mendakwa, walaupun surau yang dirobohkan itu berada di atas tanah milik kerajaan negeri, tetapi pembinaannya dahulu menggunakan wang hasil sumbangan orang ramai.

"Kami difahamkan kerajaan negeri melalui Yayasan Kelantan Darul Naim (Yakin) sebagai pemilik tanah akan menerima pampasan melalui pengambilan tanah tersebut termasuk nilai bangunan surau yang dirobohkan itu," katanya di sini pada Rabu.

Iklan

Nik Saiful Adli berkata, penduduk Kedai Melor juga berharap kerajaan negeri dapat menggantikan surau baharu di kawasan berdekatan yang munasabah untuk keselesaan peniaga, pelanggan dan penduduk setempat.

Sementara itu, Setiausaha UMNO Kedai Melor, Ahmad Akhram Naim Ahmad Sayuty berkata, UMNO Ketereh mengeluarkan kos lebih RM20,000 untuk membaik pulih surau itu tiga tahun lalu.

Iklan

Menurutnya, antara pembaikan yang dilakukan ialah pendawaian elektrik, baik pulih sistem air, tandas serta bangunan surau.

Justeru katanya, UMNO Kedai Melor bekerjasama dengan PKKM mendapatkan lokasi lain bagi membolehkan pembinaan surau itu.

"Usaha itu dilakukan sementara menantikan surau lain jika kerajaan negeri berhasrat membinanya selepas ini.

"Surau yang dirobohkan itu dimanfaatkan sejak puluhan tahun lalu oleh peniaga dan penduduk tanpa halangan," katanya.

Seorang peniaga, Affendy Mohd Zain, berkata, surau yang dibina sejak puluhan tahun lalu bukan sahaja digunakan oleh penduduk dan peniaga tetapi orang ramai yang menuju ke arah Gunong, Bachok dan Pasir Puteh.

"Buat masa sekarang, peniaga di atas Pasar Melor menunaikan solat di kaki lima kedai," katanya.

Tambahnya, keadaan menjadi sukar terutama waktu puncak dan setiap Isnin kerana ada pasar tani.